Ahad, 28 Januari 2024 | 12:24pm
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor, di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Istana Bukit Serene, hari ini. -Foto NSTP/RPO
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor, di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Istana Bukit Serene, hari ini. -Foto NSTP/RPO

Tunku Ismail mampu bawa Johor capai status negeri maju 2030 - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai visi dan keupayaan memacu hala tuju pembangunan negeri ini selari dengan aspirasi ayahandanya, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam merealisasikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Pemangku Sultan itu sentiasa memberi penekanan terhadap pendidikan di semua peringkat bermula daripada sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Sebab itu Tunku Ismail memberi penekanan yang cukup besar supaya kerajaan dapat bersama-sama membentuk Bangsa Johor yang mempunyai tahap pendidikan yang baik, mutu pelajaran yang membanggakan dan jiwa untuk berkhidmat dan berbakti kepada bumi bertuah ini. Itu yang saya nampak dalam karektor baginda.

"Saya yakin daripada segi visi, harapan dan aspirasi, Tunku Ismail selari dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mahu membangunkan negeri ini, seperti yang sepatutnya berlaku," katanya kepada Bernama dalam temu bual di kediaman rasminya di Saujana di sini baru-baru ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan) di Istana Bukit Serene, hari ini. - NSTP/RPO
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan) di Istana Bukit Serene, hari ini. - NSTP/RPO

Tunku Ismail, yang juga anakanda sulung daripada enam adik beradik itu, dilantik Pemangku Sultan Johor mulai hari ini, selepas ayahandanya, Sultan Ibrahim memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 mulai Rabu ini (31 Januari).

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada Selasa ini.

Menteri Besar Johor itu juga berkata, Tunku Ismail adalah seorang pemimpin yang bersungguh-sungguh ketika melakukan sesuatu hal dan bukan sekadar 'melepaskan batuk di tangga' apabila telah menetapkan sesuatu matlamat untuk negeri ini.

"Sebab itu, kalau kita tengok daripada segi (pasukan bola sepak) Johor Darul Ta'zim (JDT), bukan nak berlagak tetapi standard JDT memang luar biasa. Berapa kali kita jadi juara, 10 tahun berturut-turut. Tahun lalu, kita capai 100 jaringan gol semasa perlawanan terakhir. Ini semua menunjukkan ciri-ciri Tunku Ismail dalam melakukan sesuatu," katanya.

Beliau berkata, ciri-ciri yang dimiliki Tunku Ismail itu juga terserlah sewaktu baginda menzahirkan penubuhan pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) yang dibarisi ribuan generasi muda Bangsa Johor daripada pelbagai latar belakang kaum dengan menggenggam satu misi yang sama iaitu untuk berbakti kepada negeri.

"Saya mula berkhidmat di bawah naungan Tunku Ismail apabila menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor. Pada masa itu, kita menggerakkan SV untuk meningkatkan kadar vaksinasi Bangsa Johor ketika pandemik COVID-19. Pada awalnya Johor adalah antara negeri yang terendah dari segi peratusan (vaksinasi) tetapi dalam masa sebulan kita menjadi negeri dengan peratusan tertinggi. SV yang di bawah naungan baginda telah membantu (ke arah) usaha itu.

"Selain itu baginda turut fokus membangunkan pusat aktiviti anak muda menerusi Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) yang akan dibina di semua 10 daerah di negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula 2022. TMIYC menempatkan pelbagai aktiviti untuk golongan belia dan anak muda menjalankan gaya hidup sihat," katanya.

Berikut adalah biodata Pemangku Sultan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Tunku Ismail diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan juga putera sulung kepada Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Lima adinda Tunku Ismail ialah Tunku Tun Aminah, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

PENDIDIKAN

Tunku Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Joseph, masing-masing terletak di Johor Bahru dan seterusnya di Australian International School, Singapura.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Hale School, Perth, Australia pada tahun 1999 sehingga akhir tahun 2002.

KETENTERAAN

Baginda menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, pada 17 Julai 2003 sehingga 11 Disember 2004 sebelum ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan.

Baginda ditempatkan di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur, India, selama dua tahun mulai 15 Disember 2004 sehingga 14 Disember 2006.

Kehebatan Tunku Ismail berkuda terbukti jelas apabila baginda dianugerahkan 'Best In Riding' yang selanjutnya mengangkat kecemerlangan kepada IMA.

Tunku Ismail menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama menyertai rejimen berkuda tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, APJ Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007, yang turut dihadiri tetamu kenamaan termasuk Presiden Russia, Vladimir Putin.

Pada 14 Julai sehingga 23 September 2008, Tunku Ismail melaksanakan Kursus Kepakaran Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing, dan pada 9 Oktober sehingga 19 November 2008 mengikuti Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULAPAK).

Pada 1 Ogos 2010, Tunku Ismail dianugerah Beret Hijau Kehormat Grup Gerak Khas (GGK) atas kepimpinan dan sumbangan buah fikiran dalam mempertingkatkan keupayaan GGK.

PEMASYHURAN

Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006 dan kemudian sebagai Tunku Mahkota Johor pada 28 Januari 2010.

JAWATAN DISANDANG

1. Penaung Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) (sejak 2012 - kini).

2. Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) (sejak 2016 - kini)

3. Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (sejak 3 Dis 2022 - kini)

SUKAN

Sukan kegemaran Tunku Ismail antaranya polo dan bola sepak.

Selaku Presiden PBNJ sejak 16 Februari 2012, baginda telah membangun, menerajui dan mengangkat pasukan bola sepak Johor ke tahap berprestasi tinggi dan disegani.

Tunku Ismail dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac 2017.

KEHIDUPAN PERIBADI

Tunku Ismail berkahwin dengan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor di Istana Bukit Serene di sini pada 24 Oktober 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata terdiri daripada dua putera dan dua puteri iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.

-- BERNAMA

Berita Harian X