Sabtu, 27 Januari 2024 | 9:28pm

Konsep kebersamaan Karnival Jom Heboh tawan hati masyarakat di Sarawak

KUCHING: Karnival Jom Heboh (KJH) popular dan diterima masyarakat tempatan Sarawak kerana ia memberi keutamaan konsep kebersamaan dan keterangkuman yang sinonim dengan negeri ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata konsep kebersamaan itu sudah sebati dengan rakyat Sarawak sejak sekian lama.

Beliau berkata, sifat kebersamaan itu dizahirkan menerusi keterangkuman dalam meraikan kepelbagaian etnik, agama dan bangsa seiring dengan frasa dalam bahasa Iban 'Segulai Sejalai' yang bermaksud seiring sejalan.

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) hadir ke Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai di Kuching. - NSTP/Nadim Bokhari
Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) hadir ke Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai di Kuching. - NSTP/Nadim Bokhari

Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak dibanjiri pelbagai lapisan masyarakat di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya, Kuching. - NSTPNADIM BOKHARI
Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak dibanjiri pelbagai lapisan masyarakat di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya, Kuching. - NSTPNADIM BOKHARI

"Itu yang membuatkan karnival ini istimewa sehingga kali ini ia turut dikenali sebagai 'Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak' sempena penganjurannya di Bandaraya Kuching yang mana kali terakhir ia dianjurkan di sini 11 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Majlis Perasmian KJH Segulai Sejalan Sarawak yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.

Peniaga yang menyertai Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak tidak menang tangan melayan pengunjung di gerai masing-masing. - NSTP/NADIM BOKHARI
Peniaga yang menyertai Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak tidak menang tangan melayan pengunjung di gerai masing-masing. - NSTP/NADIM BOKHARI

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak berterima kasih kepada Kumpulan MPB atas penganjuran KJH Segulai Sejalai yang mendapat sambutan hangat daripada warga Bandaraya Kuching.

Katanya, kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan penganjuran program dan acara berbentuk kemasyarakatan kerana ia membawa pelbagai faedah termasuk menyumbang kepada ekonomi serta pelancongan di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) menyokong penganjuran karnival hasil kerjasama antara Media Prima Omnia dan pihak kementerian itu.

"Syabas diucapkan kepada pihak penganjur kerana ada pelbagai aktiviti menarik untuk setiap lapisan masyarakat termasuk golongan remaja dan keluarga bagi menarik penyertaan semua.

"Inilah masanya yang baik bagi kita untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang, jiran tetangga dan rakan taulan," katanya.

Abang Johari berkata, ramai golongan muda teruja dengan acara utama di karnival iaitu konsert penyanyi tempatan dan disiarkan secara langsung melalui stesen TV3 dan beberapa artis tempatan Sarawak turut mewarnai konsert KJH dan juga di Konsert Jom Lokal Jam.

"Syabas juga diucapkan kepada pihak penganjur kerana karnival ini bukan sahaja membawa pengisian hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga, malah memberi platform peniaga tempatan memperkenalkan jenama dan barangan mereka kepada pengunjung dan penonton di peringkat nasional.

"Kerajaan Sarawak menyambut baik penganjuran pelbagai aktiviti menarik dan jualan istimewa pada harga berpatutan di 132 gerai disediakan.

"Ramai peniaga tempatan dari seluruh negeri dapat mengambil bahagian, sekali gus dapat menjana pendapatan mereka.

"Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi memberi peluang kepada peniaga tempatan meluaskan promosi produk mereka di karnival ini.

"Kerajaan Sarawak bersedia menyokong penganjuran KJH di Sarawak pada masa depan," katanya.

Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai menampilkan keunikan Sarawak. - Foto Media Prima
Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai menampilkan keunikan Sarawak. - Foto Media Prima

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) mewakili Premier Sarawak merasmikan Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai di Kuching, malam ini. Hadir sama Pengerusi MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali. - NSTP/NADIM BOKHARI

Berita Harian X