Sabtu, 27 Januari 2024 | 6:52pm
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni mangsa banjir ketika mencemar duli melawat PPS SMK Sungai Lembing, hari ini. - FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni mangsa banjir ketika mencemar duli melawat PPS SMK Sungai Lembing, hari ini. - FOTO BERNAMA

Segera sempurnakan projek tangani banjir demi kebaikan rakyat - Agong

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah projek menangani banjir perlu disempurnakan segera demi kebaikan rakyat.

Seri Paduka bertitah, ia termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir yang telah dirancang, merujuk projek yang disembah maklum kepada baginda bagi menangani masalah bencana itu di Sungai Lembing, di sini.

"Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Datuk Seri Zulkifli Yaacob) sudah kata kerajaan baru meluluskan lebih RM99 juta (untuk) projek tebatan banjir (di sini).

"Kita berharap ini dapat disegerakan," titah baginda ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing, hari ini.

Turut berangkat, paduka anakanda yang juga Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam titah baginda, Al-Sultan Abdullah turut mencadangkan agar infrastruktur di Sungai Lembing dikaji semula kerana kawasan itu merupakan lokasi bersejarah dan masih didiami penduduk.

Seri Paduka menzahirkan perasaan simpati kepada penduduk di kawasan itu yang terpaksa berdepan banjir bukan saja pada musim tengkujuh tetapi juga ketika hujan lebat di luar Monsun Timur Laut.

"Jalan untuk sampai ke sini sudah mendap, sungai mungkin sudah cetek. Cari kaedah supaya banjir ini dapat kita atasi. Mungkin sudah sampai masa kena kaji. Tengok sungai kita, kaji infrastruktur yang ada dengan lebih serius dan terperinci (untuk mengurangkan risiko banjir)," titah baginda.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah mencadangkan agar Sungai Kenau diperdalam bagi mengurangkan implikasi banjir di kawasan terbabit.

Baginda sekali gus menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

Pada lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan dan bantuan makanan daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada lebih 200 ketua isi rumah di PPS berkenaan, selain menyantuni mangsa banjir di dewan makan. – BERNAMA

Berita Harian X