Sabtu, 27 Januari 2024 | 5:43pm

Kerjasama kerajaan Sarawak lancarkan Karnival Jom Heboh

KUCHING: Pembabitan kerajaan Sarawak dalam penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak menjamin kelancaran program Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) itu.

Ketua Pemasaran Kandungan, Pemasaran Kreatif dan Kandungan TV3, Muhammad Taqyuddin Kamil, berkata kerjasama menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) itu memastikan semua permohonan untuk mendapatkan kemudahan bagi melaksanakan program itu cukup lancar.

"Semuanya diatur dan dibantu dengan sangat baik oleh kerajaan Sarawak menerusi MTCP.

"Kerjasama yang itu menjadikan penganjuran KJH di Sarawak ini cukup lancar, terima kasih kerajaan Sarawak," katanya ketika ditemui di KJH Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini, hari ini.

Muhammad Taqyuddin berkata, pihaknya berharap pembabitan kerajaan Sarawak itu akan memastikan Kumpulan MPB dapat mencapai golongan sasar yang lebih meluas.

"Kali terakhir KJH diadakan di Sarawak lama dulu iaitu pada tahun 2013 dan apabila kita kembali semula, kita mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Sarawak.

"Ini sesuatu yang amat kita hargai kerana KJH landasan terbaik Kumpulan MPB untuk mendekati penonton dan pembaca," katanya.

Mengenai sasaran pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, Muhammad Taqyuddin berkata, beliau yakin mampu mencapai jumlah lebih baik berbanding penganjuran di Semenanjung sebelum ini.

"Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, sambutan hari kedua ini lebih baik dari semalam sebab cuti hujung minggu dan kita berharap hari ketiga esok, sambutan lebih baik lagi.

"Kalau KJH di Semenanjung sebelum ni kita dapat menarik antara 300,000 ke 350,000. Saya percaya Sarawak akan lebih baik lagi," katanya.

Ini kerana, katanya, rakyat Sarawak terkenal 'sporting' dan sentiasa menyokong acara berskala besar.

Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai menampilkan keunikan Sarawak. - Foto Media Prima
Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai menampilkan keunikan Sarawak. - Foto Media Prima

Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman memberi penerangan mengenai dinosaur yang dipamerkan di Dino Land. - Foto BH/Mohd Roji Kawi
Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman memberi penerangan mengenai dinosaur yang dipamerkan di Dino Land. - Foto BH/Mohd Roji Kawi

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah hadir Karnival Jom Heboh. Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (kanan). - Foto BH/Nadim Bokhari

Berita Harian X