Sabtu, 27 Januari 2024 | 5:22pm
Rohana berkerusi roda mengunjungi KJH Segulai Sejalai Sarawak, hari ini. - Foto BH/Mohd Roji Kawi
Rohana berkerusi roda mengunjungi KJH Segulai Sejalai Sarawak, hari ini. - Foto BH/Mohd Roji Kawi

Rohana sanggup berkerusi roda demi KJH

KUCHING: Kesukaran berjalan selepas pembedahan kaki tidak menghalang Rohana Wahi, mengunjungi Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak di sini.

Wanita berusia 57 tahun itu sanggup bergerak dari rumahnya di Kampung Serpan, Asajaya ke tapak KJH yang terletak hampir 100 kilometer bersama-sama suami dan dua anak mereka.

Rohana berkata, walaupun berkerusi roda, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk mengunjungi KJH yang kembali semula ke Sarawak selepas kali terakhir diadakan 11 tahun lalu.

"Saya pernah merasai kemeriahan KJH di Kuching ini pada 2013. Sebab itu, walaupun terpaksa berkerusi roda, saya sedaya upaya mahu mengunjungi hari ini.

"Syukur, suami sudi membawa saya ke sini walaupun dalam hujan lebat. Banyak kenangan manis pada KJH yang lalu," katanya sambil ketawa kecil.

Rohana berkata, beliau mengambil peluang menonton Pertandingan Nyanyian Terbuka di reruai Studio Tonton Drama Sangat.

"Suami atau anak membantu menolak kerusi roda saya untuk melihat gerai jualan serta reruai pameran," katanya.

Sebanyak 130 reruai pameran dibuka yang disertai agensi kerajaan dan swasta.

Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) turut mengendalikan reruai Dino Land, antara yang menjadi daya tarikan utama pada KJH Segulai Sejalai Sarawak.

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman zaman 'Jurassic' melihat dinosaur bersaiz raksasa yang dipamerkan dengan bayaran masuk hanya RM20 sekeluarga.

Sepanjang tiga hari berkampung di Dataran Perayaan Petra Jaya, pelbagai kegiatan dirancang untuk memberikan hiburan dan kenangan manis buat warga Sarawak.

Tidak ketinggalan, hadiah menarik turut disediakan menerusi reruai Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, NSTP (New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro), Hot FM dan Seismik TV.

Penggemar e-Sport terutamanya Mobile Legends, berpeluang menyertai Jom Esports Championship - Mobile Legends (Preliminary Round).

Acara e-Sport julung kali dibawakan pada KJH selepas 21 tahun penganjurannya.

Pengunjung datang bersama keluarga ke Karnival Jom Heboh, di luar Stadium Petra Jaya, Kuching. - Foto BH/Nadim Bokhari
Pengunjung datang bersama keluarga ke Karnival Jom Heboh, di luar Stadium Petra Jaya, Kuching. - Foto BH/Nadim Bokhari

Berita Harian X