Sabtu, 27 Januari 2024 | 4:56pm

Karnival Jom Heboh meriah

KUCHING: Hujan tidak menghalang pengunjung memeriahkan Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak, hari ini.

Pengunjung tidak menghiraukan cuaca itu semata-mata ingin merasai keseronokan KJH di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini yang kembali di Bumi Kenyalang selepas 11 tahun.

Habibu Leman, 28, berkata beliau sudah merancang dari awal untuk menghabiskan hujung minggu bersama keluarga di karnival itu.

"Kebetulan hari ini ada pertandingan mewarna. Jadi, saya bawa anak saya datang awal pagi walaupun ketika kami sampai tadi hujan agak lebat.

"Memang teruja selepas mendengar Karnival Jom Heboh diadakan semula di sini. Saya pernah datang pada karnival pada 2013. Memang seronok," katanya.

Permainan tradisional masyarakat Iban, 'batak lampong' turut memeriahkan Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - Foto BH/Mohd Roji Kawi
Permainan tradisional masyarakat Iban, 'batak lampong' turut memeriahkan Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - Foto BH/Mohd Roji Kawi

Bekas peninju negara, Mejar Sapok Biki menarik perhatian pengunjung di reruai Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. - Foto BH/Mohd Roji Kawi
Bekas peninju negara, Mejar Sapok Biki menarik perhatian pengunjung di reruai Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. - Foto BH/Mohd Roji Kawi

Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman memberi penerangan mengenai dinosaur yang dipamerkan di Dino Land. - Foto BH/Mohd Roji Kawi
Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman memberi penerangan mengenai dinosaur yang dipamerkan di Dino Land. - Foto BH/Mohd Roji Kawi

Sementara itu, reruai Dino Land kendalian The New Straits Times Press Berhad (NSTP) terus menggamit orang ramai.

Lebih 20 penari budaya dari Kelab Senam Tari Kuching, diberi peluang meneroka Reruai Dino Land itu hari ini.

Jurucakap kelab berkenaan, Jasimah Zen, 49, berkata ini kali pertama mereka memasuki Dino Land dan ternyata memberi suatu pengalaman baharu.

"Rakan-rakan saya ada yang menjerit kerana melihat sendiri dinosaur robotik dengan audio yang sangat mengujakan dan seperti betul-betul.

"Ini pengalaman baharu kerana biasanya kita hanya melihat patung dinasour. Ini lagi menakutkan daripada buaya," katanya.

Jasimah yang mesra disapa Memz Yatty berkata, Kelab Senam Tari Kuching dijemput untuk membuat persembahan senam tari di pentas utama KJH pagi semalam.

Menurutnya, meskipun hujan lebat, sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan dan menaikkan semangat mereka untuk membuat persembahan.

Lebih menarik, mereka yang sudah menubuhkan kelab itu lebih lima tahun lalu menggayakan pakaian tradisional kaum dan etnik seluruh Sarawak seperti Melanau, Iban, Bidayuh, Hulu, Melayu Sarawak, Cina dan India.

Katanya, beliau dan rakan-rakan gembira dapat berkumpul dalam majlis yang besar sekaligus dapat mempromosi keunikan budaya etnik di Sarawak.

KJH Segulai Sejalai Sarawak, program Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berlangsung tiga hari hingga esok.

Ahli keluarga mengunjungi pelbagai gerai pameran pada hari kedua Jom Heboh dekat Stadium Petra Jaya, Kuching. - Foto BH/Nadim Bokhari
Ahli keluarga mengunjungi pelbagai gerai pameran pada hari kedua Jom Heboh dekat Stadium Petra Jaya, Kuching. - Foto BH/Nadim Bokhari

Pengunjung tiba sejak awal pagi di Dataran Perayaan Petra Jaya untuk merasai kemeriahan Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - Foto BH/Mohd Roji Kawi
Pengunjung tiba sejak awal pagi di Dataran Perayaan Petra Jaya untuk merasai kemeriahan Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - Foto BH/Mohd Roji Kawi
Berita Harian X