Sabtu, 27 Januari 2024 | 4:23pm
(Gambar fail) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir
(Gambar fail) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir

Pakar undang-undang kecewa ICJ tidak arah gencatan senjata di Gaza

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes genosid dilakukan Israel, disambut baik pelbagai pihak tetapi pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menzahirkan perasaan kecewa berikutan tiada arahan gencatan senjata dikeluarkan.

Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, Israel dijangka tidak menghentikan serangan ke atas Gaza walaupun perintah yang dikeluarkan oleh ICJ mengikat secara sah (legally binding).

Ini dapat dilihat daripada kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam, yang mengalu-alukan keputusan mahkamah dunia itu tidak mengarahkan gencatan senjata, selain menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai.

"Ya benar, ICJ mengakui dakwaan Afrika Selatan bahawa berlaku genosid di Gaza, namun saya tetap merasakan jika tiada gencatan senjata, semua ketetapan ICJ tidak akan dapat dilaksanakan.

"Ketetapan ICJ itu hanyalah perkara yang perlu dilaksanakan oleh Israel jika mereka mempunyai maruah. ICJ tiada unit penguatkuasaan untuk mengambil tindakan, tetapi lebih kepada kepercayaan bahawa Israel akan patuh keputusan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Salawati berkata, Hamas adalah 'non-state actor' (bukan mewakili negara) yang bukan bawah bidang kuasa ICJ, dan Israel boleh menggunakan perkara berkenaan untuk tidak melaksanakan perintah mahkamah dunia itu atas alasan untuk mempertahankan diri, selain mendakwa Hamas berada dalam kalangan orang awam.

Pada 29 Disember lalu, Afrika Selatan mengemukakan tuntutan di ICJ untuk memohon perintah larangan terhadap Israel, dengan alasan serangan dilancarkan rejim Zionis ke atas Gaza adalah melanggar Konvensyen Genosid.

Dalam keputusannya, semalam, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid, serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.

Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid, serta mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah berkenaan dalam tempoh sebulan.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, semalam dilaporkan memuji ICJ kerana pada dasarnya mengesahkan bahawa kes dibawa negaranya terhadap Israel itu mempunyai merit, namun turut kecewa kerana ICJ tidak mengarahkan gencatan senjata dengan segera.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, mahkamah dunia itu memerintahkan Israel mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan lebih banyak kematian di Gaza dan membenarkan akses kemanusiaan.

Mengulas lanjut, Salawati berkata, usul sekatan ekonomi ke atas Israel boleh dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) jika tidak melaksanakan perintah ICJ, namun beliau berasa ragu yang Amerika Syarikat (AS) tidak akan menggunakan kuasa veto sekali lagi.

Pada 8 Disember lalu, AS menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza yang disokong oleh hampir semua anggota UNSC yang lain dan berpuluh-puluh negara anggota PBB.

Menyifatkan genosid di Gaza sebagai detik paling malang dalam sejarah kemanusiaan abad ke-21, pensyarah undang-undang itu berkata, terdapat unsur hasutan yang jelas daripada pemimpin-pemimpin Israel yang ingin mengosongkan Gaza.

Beliau berkata, unsur genosid juga dapat dilihat daripada serangan bertubi-tubi bermula di bahagian utara Gaza yang kemudian diperluas ke bahagian tengah hingga ke Rafah di selatan. – BERNAMA

Berita Harian X