Sabtu, 27 Januari 2024 | 1:15pm

Simpan ganja dalam kubur lama

GEORGETOWN: Polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan tapak perkuburan cina dan pondok sebagai lokasi menyorok ganja hampir RM500,000.

Taktik itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Jalan Mount Erskine, Pulau Tikus di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata suspek pertama berusia 50 tahun ditahan dalam serbuan jam 4 petang dengan pemeriksaan menemukan 7,82 gram (g) bernilai RM78.

Siasatan lanjut, katanya, membawa kepada penahanan kedua membabitkan lelaki berusia 35 tahun tidak jauh dari lokasi suspek pertama ditahan.

"Pemeriksaan ke atas suspek kedua menemui tujuh plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 16.21g dianggar bernilai RM3,240 dan lebih dua kilogram (kg) ganja bernilai RM6,330.

"Polis seterusnya menyerbu sebuah pondok dalam hutan perkampungan Hong Seng Estate, sebelum terbongkar lokasi simpanan ganja sindiket pengedaran dadah terbabit.

"Serbuan berpandukan maklumat suspek kedua dengan pemeriksaan di lokasi membawa penemuan dua guni berisi ketulan mampat ganja hampir 50kg bernilai RM154,869," katanya ketika sidang media hari ini.

Razlam berkata, soal siasat ke atas suspek membongkarkan taktik sindiket yang menjadikan tanah perkuburan Cina sebagai lokasi menyimpan ganja.

"Kubur lama itu terletak agak jauh dari kawasan perkuburan baharu dan ketika pemeriksaan menemui 100 ketulan mampat ganja seberat 10.2kg dianggar bernilai RM331,272 yang disembunyikan dalam lubang sedalam 0.6 meter (m) serta ditutup zink," katanya memaklumkan nilai dadah dirampas dianggarkan RM496,088.

Kedua-dua suspek aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak Disember lalu dan memasarkan ganja untuk pasaran Pulau Pinang.

"Semakan lanjut mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Razlam (kiri) menunjukkan antara dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM495,789 dalam dua serbuan dan menahan dua lelaki, ketika sidang media di IPD Timur Laut, Georgetown, hari ini. - NSTP/Danial Saad
Razlam (kiri) menunjukkan antara dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM495,789 dalam dua serbuan dan menahan dua lelaki, ketika sidang media di IPD Timur Laut, Georgetown, hari ini. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X