Jumaat, 26 Januari 2024 | 9:14pm
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (dua dari kanan) mengetuai Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (panggilan suara) di Sungai Melaka, hari ini - Foto NSTP/AMIR MAMAT
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (dua dari kanan) mengetuai Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (panggilan suara) di Sungai Melaka, hari ini - Foto NSTP/AMIR MAMAT

Syarikat penyedia khidmat telekomunikasi diarah baiki perkhidmatan di Sungai Melaka

MELAKA: Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi diarah segera menambah baik perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata langkah itu penting selepas pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (panggilan suara) di Sungai Melaka yang merekodkan lima panggilan terputus.

"Hari ini SKMM menjalankan ujian di Sungai Melaka iaitu satu lokasi yang sinonim sebagai tarikan pelancong di negeri ini, untuk menilai isu panggilan terputus bagi rangkaian mudah alih di Melaka.

"Program ini membabitkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (Telco) iaitu CelcomDigi, Maxis, Unifi Mobile (TM), YES (YTL) dan U Mobile.

"Sepanjang ujian di laluan perjalanan dua hala Jeti Hotel Casa Del Rio-Taman Pengkalan Rama, sebanyak lima panggilan terputus sudah direkodkan," katanya selepas melakukan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (panggilan suara) di Sungai Melaka, di sini hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem.

Fahmi turut meminta syarikat perkhidmatan yang terbabit untuk segera melaporkan perkembangan penambahbaikan itu bagi meningkatkan perkhidmatan komunikasi dan jalur lebar di Melaka.

Katanya, penyedia perkhidmatan berkaitan juga diminta mengambil tindakan segera dan seterusnya melaporkan kerja penambahbaikan yang dilaksanakan kepada SKMM.

"Selain itu, ujian kelajuan muat turun jalur lebar tanpa wayar juga dijalankan sepanjang kira-kira empat kilometer itu dan secara purata mencatatkan lebih 100Mbps bagi semua penyedia perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, selari dengan inisiatif Melaka yang giat menganjurkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), ujian berkenaan adalah tepat dalam memastikan aktiviti pelancongan berjalan lancar khususnya di lokasi tarikan pelancong.

Berita Harian X