Khamis, 25 Januari 2024 | 11:43pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang mengikat Korea Selatan 3-3 pada perlawanan terakhir Kumpulan E, saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar, malam tadi. - Foto ihsan FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang mengikat Korea Selatan 3-3 pada perlawanan terakhir Kumpulan E, saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar, malam tadi. - Foto ihsan FB Anwar Ibrahim

Piala Asia 2023: PM ucap tahniah, terima kasih kepada Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya memberikan tentangan sengit kepada Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar, hari ini.

Menerusi ciapan ringkas di laman X hari ini, Anwar yang turut mengucapkan terima kasih pihak rakyat Malaysia, berharap pasukan bola sepak negara akan meneruskan perjuangan mereka dan tidak menyerah kalah.

"Tahniah Harimau Malaya beri tentangan sengit kepada Korea Selatan. Terima kasih daripada seluruh rakyat Malaysia. Teruskan perjuangan anda selepas ini, usah menyerah kalah," katanya.

Skuad Harimau Malaya hampir menumbangkan juara dua kali Korea Selatan sebelum mencatat keputusan seri 3-3 pada perlawanan berkenaan, sekali gus menyaksikan Korea Selatan kekal di posisi kedua Kumpulan E dengan mengumpul lima mata sementara Malaysia membawa pulang satu mata.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keputusan berkenaan merupakan hadiah terbaik kepada 'pemain ke-12' yang menyaksikan kehebatan anak buah Kim Pan Gon beraksi di bumi Qatar mahupun di Malaysia.

"Harimau Malaysia stamped our mark on the Asian stage. We will be back in the next Asian Cup! This draw against Korea is the biggest gift to Harimau Malaya fans in Qatar and all across Malaysia.

"When we put our heart and soul into everything we do, the world will notice. #RoadToGold… Mr Kim Pan Gon- you rock! Datuk Hamidin of Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)- Tahniah FAM," katanya menerusi hantaran Facebook rasminya malam ini.

(Harimau Malaysia mengukir nama di pentas Asia. Kami akan kembali dalam Piala Asia akan datang! Keputusan seri menentang Korea ini merupakan hadiah terbesar kepada peminat Harimau Malaya di Qatar dan seluruh Malaysia.

"Apabila kita berusaha sepenuh hati dan jiwa dalam semua yang kita lakukan, dunia akan menyedarinya. #RoadToGold… Encik Kim Pan Gon- anda hebat! Datuk Hamidin dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)- Tahniah FAM)

- BERNAMA

Berita Harian X