Khamis, 25 Januari 2024 | 4:32pm
(Dari kiri) Datuk Razali Idris, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. - Foto BH
(Dari kiri) Datuk Razali Idris, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. - Foto BH

'Zulkafperi patut malu, mudah sangat 'longlai' dengan tawaran'

KUALA LUMPUR: Sokongan seorang lagi Ahli Parlimen BERSATU kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam disifatkan sebagai satu lagi episod pengkhianatan kepada parti itu dan Perikatan Nasional (PN).

Ia berikutan semua perwakilan sudah menyatakan janji taat setia kepada parti pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU, November lalu.

Pemimpin BERSATU menganggap, sebagai ahli Parlimen yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi sepatutnya malu dengan tindakannya yang mudah 'longlai' dengan tawaran peruntukan daripada kerajaan, sekali gus membelakangkan perjuangan parti.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata selepas pelbagai perbincangan antara pemimpin dan bai'ah untuk setia dizahirkan pada PAT lalu supaya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menerajui parti, tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu amat mengecewakan.

"Tan Sri setuju tarik balik pengumuman peletakan jawatannya selepas semua perwakilan bai'ah menyokong parti tapi beliau (Zulkafperi) buat juga (sokong Anwar), kita nak kata apa.

"Saya nampak sebahagian ahli Parlimen ini terlampau taasub dengan kewangan. Sebagai pejuang politik, kewangan itu perlu tapi ia bukan segala-galanya.

"Jika beliau (Zulkafperi) rasa hebat sangat dan ramai pengundi Tanjong Karang menyokongnya, kita cabar beliau letak jawatan dan kita percaya beliau tidak akan menang kalau bertanding lagi kerana kemenangannya sebelum ini adalah atas tiket PN," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Zulkafperi menyatakan sokongannya kepada kepemimpinan Anwar, menjadikan wakil rakyat keenam daripada parti itu berbuat demikian.

Zulkafperi berkata, keputusan itu diambil selepas menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara, selain menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.

Mengulas tindakan terhadap Zulkafperi, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Mengenai sama ada akan ada lagi Ahli Parlimen BERSATU akan menyokong Anwar, Razali tidak mengetahuinya dan tindakan Zulkafperi hanya diketahui melalui kenyataan yang tular di media sosial.

"Kita tak boleh nak halang, cuma masalahnya sekarang jika yang sebelah sana (ahli Parlimen kerajaan) nak sokong kita, seolah-olah ada dakwaan ia menyalahi undang-undang tapi jika yang sebelah sini ditawar dengan peruntukan (untuk menyokong), tidak dikatakan sogokan," katanya.

Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan tindakan Zulkafperi sebagai pengkhianatan kepada parti dan pengundi.

Ahli Parlimen Machang itu turut mempersoalkan mengapa siasatan polis berhubung dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen PN menyokong Anwar sebelum ini, belum selesai.

"Datuk Botak (ejen didakwa memujuk ahli Parlimen PN) dan macam-macam lagi ejen digunakan, termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen yang sudah 'lari' ini.

"Perkara ini mencabuli demokrasi kerana menyekat peruntukan pembangkang dan menggunakan kuasa serta undang-undang menggertak ahli Parlimen yang tidak menyokong kerajaan," dakwanya.

Lima Ahli Parlimen BERSATU yang mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar sebelum ini ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Berita Harian X