Khamis, 25 Januari 2024 | 2:31pm
Kumpulan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kawasan Empangan Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. NSTP/Ihsan RimbaWatch
Kumpulan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kawasan Empangan Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. NSTP/Ihsan RimbaWatch

Tiada keperluan tubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda, 'task force' sudah memadai - Pakar

KUALA LUMPUR: Syor penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air Ulu Muda di Kedah bukanlah suatu keperluan mendesak ketika ini.

Sebaliknya, pakar berpandangan cukup sekadar menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan kajian bagi menentukan punca pencemaran di kawasan itu.

Perkara itu dimaklumkan Pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Marlia Mohd Hanafiah, sambil menyatakan kewujudan Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) di bawah kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah pun memadai ketika ini untuk tujuan itu, tanpa perlu diwujudkan satu lagi entiti bagi maksud sama.

Mengulas lanjut, katanya, PLSM bertanggungjawab ke atas struktur banjir dan sumber air di Sungai Muda membabitkan dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang.

"Saya berpendapat penubuhan sebuah 'task force' (jawatankuasa khas) sudah memadai (tanpa perlu diwujudkan Lembaga Lembangan Ulu Muda)... ini kerana kita sudah pun ada kementerian berkenaan yang bertanggungjawab dan PLSM di bawah JPS.

"Apa yang boleh disarankan adalah dari segi pengurusan dan penguatkuasaan, ia perlu diperkemas dan ditambah baik.

"Jadi dengan penubuhan 'task force' ini, pihak yang menganggotainya kelak boleh menumpukan untuk menjalankan analisis forensik alam sekitar bagi menentukan sumber pencemaran di kawasan terbabit, " katanya kepada BH hari ini.

Cadangan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda dikemukakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chan Kon Yeow, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbang entiti itu bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air di Ulu Muda, Kedah.

Menurut Kon Yeow, kawasan tadahan air Ulu Muda perlu diuruskan secara profesional kerana ia kawasan penting untuk menyalurkan bekalan air mentah kepada tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Cadangan menyusul selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali RimbaWatch mendedahkan berlaku pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sehingga didakwa menyebabkan Tasik Muda membentuk kelodak dan tercemar.

Kumpulan alam sekitar itu mendakwa kajian dijalankan menerusi pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan kelodak sejak Mac tahun lalu dan mendapan didapati semakin meningkat pada Oktober tahun lalu.

Dakwa RimbaWatch, keadaan itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Cadangan Kon Yeow mencetuskan polemik dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berpuas hati, menyifatkan ia sebagai cubaan mencampuri hal ehwal wilayah Kedah.

Muhammad Sanusi bertekad tidak akan membenarkan cadangan seumpama itu dilaksanakan selagi Kedah di bawah pentadbirannya.

Berita Harian X