Khamis, 25 Januari 2024 | 2:16pm
Dr Nasiman ketika sidang media berkenaan isu semasa berhubung pengusaha ladang ayam di Seksyen 14 hari ini.- Foto Bernama
Dr Nasiman ketika sidang media berkenaan isu semasa berhubung pengusaha ladang ayam di Seksyen 14 hari ini.- Foto Bernama

Penternak ayam harap kerajaan bantu mudahkan kelulusan KM, nilai semula harga ayam

SHAH ALAM: Penternak ayam berharap agar kerajaan memudahkan isu kelulusan Kebenaran Merancang (KM) bagi pembinaan reban baharu serta menilai semula harga pasaran ayam tempatan susulan peningkatan tarif air bermula Februari depan.

Pengerusi Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan, Dr Nasiman Sapari, berkata isu kelulusan KM daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dihadapi penternak tempatan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Ada penternak didenda RM20,000 yang dicaj setiap tahun (sebagai kesalahan berulang) sebab bina reban tanpa kelulusan KM. Sukar dapat kelulusan KM sebab perlu persetujuan 14 jabatan dan agensi kerajaan. Kos dikenakan pula sehingga RM60,000.

"Masalah ini berlarutan terlalu lama, ada antara kami yang bina reban dan jual ayam dahulu untuk tampung kos KM. Sekitar 80 hingga 90 peratus daripada lebih 1,000 penternak dipercayai bina reban tanpa KM sebab berdepan

kerenah birokrasi dan kos yang tinggi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kenaikan tarif air pula akan menyebabkan penternak terpaksa menanggung peningkatan kos utiliti pengeluaran sumber protein itu daripada 40 sen kepada 48 sen seekor.

Katanya, ketika ini kos tersebut adalah sebanyak 7.2 peratus daripada berbanding pengeluaran ayam RM6.53

sekilogram seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan bakal meningkat antara 11 hingga 20 peratus.

"Justeru, kami menjangkakan kos utiliti pengeluaran ayam dijangka meningkat sekurang-kurangnya sebanyak 25 sen sekilogram. Jika tiada kenaikan harga ayam, penternak akan berterusan berdepan tekanan yang ketika ini pun menghadapi penetapan harga daripada pembekal sekitar RM5.80 hingga RM5.90 sekilogram.

"Jadi, kami berharap harga ayam di pasaran boleh ditingkatkan kepada RM10 sekilogram supaya penternak boleh menarik nafas bagi menghadapi peningkatan kos dengan memperoleh pendapatan tambahan sekitar RM1 hingga RM2 sekilogram," katanya.

Nasiman berkata, ketika ini penternak perlu menanggung kos utiliti termasuk bil air dan elektrik sekitar RM9,000 hingga RM10,000 bergantung kepada saiz reban.

Dalam pada itu, Nasiman memberitahu sasaran pengeluaran ayam sehingga 140 peratus seperti ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2030 sukar dicapai.

Jelasnya, pengeluaran ayam negara kini berdepan penurunan sehingga 39 peratus dalam tempoh 10 tahun dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila pengeluarannya berkurangan sekitar tiga juta ekor tahun lalu berbanding 2022.

Berita Harian X