Khamis, 25 Januari 2024 | 2:13pm

Penjelasan UPM mengenai jurnal pelayaran satu lawak - sejarawan Perancis

KUALA LUMPUR: Penjelasan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha mempertahankan ahli akademiknya yang didakwa menampilkan fakta salah mengenai sejarah pelayaran Melayu, disifatkan sebagai gagal dan boleh ditangkis dengan mudah, kata sejarawan Perancis, Serge Jardin.

Jardin sebelum ini mendakwa dua ahli akademik UPM itu menampilkan fakta salah dalam kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal akademik, selain terus mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik di mana ia diterbitkan.

Malah beliau menyifatkan pembelaan UPM terhadap ahli akademiknya seperti bahan lawak.

"Jawapan mereka (UPM) seolah-olah satu gurauan. Adakah kita bercakap mengenai 'peer blind review' atau yang boleh dipanggil sebagai pakar?

"Bagaimana seorang pakar tidak dapat membezakan antara kapal kargo China dan Jong Melayu. Pernahkah anda melihat bot Melayu dengan sepasang mata, yang jelas milik budaya China?" katanya kepada New Straits Times, hari ini.

Dalam satu catatan Facebook sebelum ini, Jardin mendakwa Dr Rozita Che Rodi dan Prof Dr Hashim Musa sebagai penulis kertas kerja berjudul 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' menampilkan fakta salah mengenai sejarah.

Kertas kerja yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023 menggunakan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) yang sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.

Bagaimanapun UPM menjelaskan artikel kajian dua ahli akademiknya itu mempunyai polisi 'blind peer review, refereed journal' dan jurnal itu sudah disemak oleh pakar dalam bidang yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan dapatan kajian.

Sehubungan itu, UPM memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan yang ditujukan kepada universitinya dan menegaskan penyelidikan itu bersifat akademik dan ia wajar dibincangkan dalam ruang akademik.

Mengulas mengenai kenyataan UPM itu, Jardin menegaskan, tiada sumber sejarah untuk mengekalkan penegasan itu.

Katanya, beliau bersetuju sejarah adalah mengenai tafsiran masa lampau, tetapi tafsiran itu perlu berdasarkan bukti sejarah.

"Bukti empirikal seperti dua contoh yang mengakui penggunaan kapal ghali dalam armada Kesultanan Melaka sebelum kedatangan Portugis dan Uthmaniyyah di Asia Tenggara) tidak boleh dirunding," katanya.

Dalam pada itu, sejarawan itu turut membangkitkan perkara lain mengenai kredibiliti International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, di mana kertas kerja itu diterbitkan.

Hujahnya, walaupun UPM meluluskannya sebagai 'semakan oleh pengulas pakar dan bereputasi', namun semakan mendedahkan ia jurnal 'yang dibayar untuk diterbitkan'.

Katanya, artikel yang dipertahankan UPM sebagai 'peer review dan mempunyai reputasi' itu diterbitkan Human Resource Management Academic Research Society (HRMARS).

"Semakan di sesawang menunjukkan jurnal itu 'dibayar untuk diterbitkan' dengan bayaran tetap dikenakan sebagai 'caj pemprosesan artikel' supaya ia boleh menjadi 'akses terbuka'," katanya.

Seterusnya, beliau mendakwa, HRMARS disenaraikan sebagai 'penerbit pemangsa' seperti yang terdapat dalam Senarai Beall.

Senarai Beall ialah rujukan yang digunakan secara meluas untuk penyelidik dan ahli akademik untuk mengenal pasti penerbit yang mengeksploitasi dan mengesan penipuan oleh penerbit.

Senarai itu pada asalnya dicipta oleh Jeffrey Beall, seorang pustakawan dan penyelidik dari University of Colorado, Denver, yang mencipta istilah 'penerbitan pemangsa' mendokumenkan penerbit akses terbuka yang tidak melakukan semakan 'peer review' yang menerbitkan sebarang artikel dengan berkesan, selagi pengarang membayar caj pemprosesan artikel.

"HRMARS disenaraikan oleh Senarai Beall sebagai penerbit pemangsa," katanya sambil menambah jurnal berkenaan boleh didapati dalam senarai penerbit dan jurnal pemangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan menyatakannya (dan jurnal lain dalam senarai) sebagai 'tidak diiktiraf'.

"Malah UKM meletakkan senarai penerbit atau jurnal pemangsa, yang boleh didapati di laman sesawang terbabit.

"Tidak diiktiraf UKM tetapi cukup bagus untuk UPM," sinisnya sambil menegaskan UPM sekurang-kurangnya perlu mencontohi UKM dan menyenaraihitamkan jurnal itu.

Jardin juga menyarankan orang ramai membuat semakan sendiri untuk mencari HRMARS dalam senarai Beall di laman sesawangnya dan mengetahui lebih lanjut mengenai penerbit pemangsa.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat UPM ketika dihubungi BH, memaklumkan pihaknya belum berhasrat memberi sebarang kenyataan balas terhadap dakwaan terbaharu Jardin itu.

Berita Harian X