Khamis, 25 Januari 2024 | 2:10pm
Azalina (dua kanan) bersama Ewon (kanan) melancarkan van untuk perkhidmatan Juctice On Wheel Jabatan Bantuan Guaman di Penampang. - Foto IZWAN ABDULLAH
Azalina (dua kanan) bersama Ewon (kanan) melancarkan van untuk perkhidmatan Juctice On Wheel Jabatan Bantuan Guaman di Penampang. - Foto IZWAN ABDULLAH

Azalina sangkal ada kelompangan akta anti lompat parti

PENAMPANG: Tiada kelompangan dalam undang-undang berkaitan anti lompat parti seperti didakwa pemimpin pembangkang berikutan tindakan beberapa wakil rakyatnya mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan hari ini atas alasan kelompangan sedangkan akta terbabit diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

"Tiada kelompangan (undang-undang anti lompat parti), yang buat akta itu kerajaan mana? Sekarang mereka pembangkang dan mereka juga cakap ada kelompangan.

"Masa buat undang-undang (ketika itu) kenapa mereka tidak buat penilaian, kenapa tolak kepada kerajaan ini, kerja kita untuk tutup lompangkah? Tidak.

"Kerja kita ialah memastikan undang-undang sedia ada ini berkaitan kerusi yang menjadi milik parti, rakyat, bukan milik individu, Ahli Parlimen," katanya pada sidang media selepas melancarkan program Justice On Wheel, Jabatan Bantuan Guaman sempena Program Jelajah Undang-Undang Malaysia Madani 2024 di Kampung Madsiang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.

Azalina ditanya mengenai dakwaan berlaku kelompangan dalam akta anti lompat parti yang menyebabkan wakil rakyat masih boleh mengalihkan sokongan tanpa meninggalkan parti.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan memberi sokongan kepada pihak lain tidak sama seperti melompat parti yang dijelaskan dalam undang-undang berkenaan.

"Undang-undang berkenaan ialah berkaitan melompat parti dan kerajaan kita sekarang melaksanakan undang-undang itu," katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Anwar, menjadikan enam wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) berbuat demikian setakat ini.

Lima wakil rakyat PN yang terdahulu berbuat demikian ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Sywd Abh Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Berita Harian X