Khamis, 25 Januari 2024 | 1:01pm

Persiapan Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak lancar

KUCHING: Selepas kali terakhir berkunjung ke Sarawak 11 tahun lalu, Karnival Jom Heboh (KJH) kembali membawa keriangan hiburan berbentuk kekeluargaan kepada orang ramai di sini, mulai esok.

Menjadi lokasi pertama KJH pada 2024, karnival berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya, kawasan tumpuan di kompleks Stadium Sarawak dan kali ini ia dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Dengan pembabitan kerajaan Sarawak, karnival itu turut dikenali 'KJH Segulai Sejalai Sarawak', yang bertepatan dengan semangat kebersamaan dan perpaduan kukuh rakyat negeri ini.

KJH Segulai Sejalai Sarawak berlangsung mulai esok hingga Ahad bermula seawal jam 9 pagi setiap hari dengan pelbagai pengisian serta hadiah dan aktiviti menarik.

Tinjauan di lokasi karnival hari ini mendapati pekerja sibuk menyiapkan khemah yang menempatkan 130 reruai pameran.

Sepanjang tiga hari berkampung di Dataran Perayaan Petra Jaya, pelbagai aktiviti dirancang untuk memberikan hiburan dan kenangan manis buat warga Sarawak khususnya dan Borneo keseluruhannya.

 Tinjauan persiapan Karnival Jom Heboh di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya Kuching, yang akan bermula 26 Januari sehingga 28 Januari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Tinjauan persiapan Karnival Jom Heboh di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya Kuching, yang akan bermula 26 Januari sehingga 28 Januari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

Tidak ketinggalan, hadiah menarik turut disediakan menerusi reruai Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, New Straits Times Press (New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro), Hot FM dan Seismik TV.

Bagi penggemar e-Sport terutamanya Mobile Legends, ada berpeluang menyertai Jom Esports Championship - Mobile Legends (Preliminary Round) yang julung kali dibawakan pada KJH.

Pengunjung juga berpeluang bersua muka dengan selebriti pada Meet & Greet Drama Sangat di Studio Tonton Drama Sangat pada jam 4.45 petang Jumaat dan Sabtu manakala pada Ahad pula pada jam 3.45 petang.

Antara selebriti yang bakal anda temui ialah Aidit Noh (Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah), Nabila Razali (Tonton), Meerqeen (Tonton), Anna Jobling (Tonton), Sherry Ibrahim (Filem Tonton: Detik), Raden Zaharatul (Hawt Fellas), Atiq Azman (Hawt Fellas) dan Trisha Ooi (Menanti Senja).

Konsert KJH Segulai Sejalai Sarawak menyusul selepas perasmian oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada jam 9 malam dengan menampilkan Muaz Mohamed (KOOL 101) dan Aishah Mazlin (HOT FM) sebagai pengacara serta persembahan artis TujuLoca, Kaka Azraff, Liza Hanim, Nizam Laksamana dan Aepul Roza.

Kemuncak KJH Segulai Sejalai Sarawak akan dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang akan merasmikan majlis penutupan pada jam 8.30 malam.

Selepas itu, pengunjung akan dihiburkan dengan Konsert KJH Segulai Sejalai Sarawak pada 9 malam yang menampilkan penyanyi terkemuka tanah air antaranya Baby Shima, Khai Bahar, Hael Husaini, Indah Ruhaila, Rahmad Mega dan penyanyi kelahiran Sarawak, Rem.

Tinjauan persiapan Karnival Jom Heboh di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya Kuching, yang akan bermula 26 Januari sehingga 28 Januari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Tinjauan persiapan Karnival Jom Heboh di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya Kuching, yang akan bermula 26 Januari sehingga 28 Januari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X