Khamis, 25 Januari 2024 | 1:00pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Tiada kuota kepada PJH, semua tertakluk pilihan jemaah haji' - TH

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan pihaknya mengagihkan kuota tertentu kepada syarikat swasta atau Pengendali Jemaah Haji (PJH).

TH memaklumkan, dakwaan pihaknya hanya mengendalikan 11,000 bakal jemaah haji pada tahun ini adalah tidak benar kerana majoriti jemaah atau sekitar 70 peratus hingga 80 peratus melalui muassasah.

TH mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan khabar palsu sebelum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, seperti yang diketahui, Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan 31,600 kuota haji kepada rakyat Malaysia mengikut sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep 'Mendaftar Dahulu, Didahulukan' yang dilaksanakan sejak 1995.

"Bakal jemaah yang terpilih di dalam kuota tahunan ini juga boleh memilih sama ada ingin menunaikan ibadat haji melalui TH (secara muassasah) atau melalui syarikat-syarikat PJH yang dilesenkan TH," katanya.

Kenyataan itu menambah, bakal Haji yang memilih syarikat PJH adalah dalam kalangan yang berkemampuan untuk membayar kos lebih tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik daripada muassasah.

Katanya, syarikat PJH juga perlu membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaah yang dikendalikannya untuk perkhidmatan dan kemudahan di Tanah Suci termasuk bayaran wajib yang dikenakan Kerajaan Arab Saudi.

"TH menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita palsu yang tular di media sosial dan bakal jemaah dinasihatkan merujuk kepada platform media sosial rasmi TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih, tepat dan terkini," katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh berhubung Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

Berita Harian X