Khamis, 25 Januari 2024 | 10:46am
Keputusan pelaksanaan penjawat awam baharu berstatus tetap tidak berpencen dijangka akan menyebabkan negara berdepan kekurangan penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.- Foto hiasan Bernama
Keputusan pelaksanaan penjawat awam baharu berstatus tetap tidak berpencen dijangka akan menyebabkan negara berdepan kekurangan penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.- Foto hiasan Bernama

Jumlah penjawat awam akan berkurangan dalam tempoh 10 tahun

KUALA LUMPUR: Keputusan pelaksanaan penjawat awam baharu berstatus tetap tidak berpencen dijangka akan menyebabkan negara berdepan kekurangan penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata negara sebenarnya terhutang budi dengan pengorbanan penjawat awam.

Katanya, Kementerian Kesihatan mempunyai kira-kira 250,000 kakitangan awamnya.

"Bilangan itu pasti akan menyusut kerana bakal pembantu perubatan, bakal jururawat, bakal ahli farmasi dan x-ray serta bakal doktor lebih bersedia berkhidmat di klinik dan hospital swasta serta di luar negara.

"Kementerian Pendidikan mempunyai kira-kira 503,000 kakitangan terutama guru yang sentiasa berkorban demi anak bangsa tetapi bayangkan akan berlaku kekurangan bagi tempoh 10 tahun mendatang kerana tawaran kontrak dan tidak berpencen," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razali berkata, mengambil tanggungjawab yang semakin mencengkam ini, Perikatan Nasional (PN) bersedia dan bersama kira-kira 2.3 juta penjawat awam termasuk anggota pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), tentera dan polis menjadikan isu itu sebagai agenda nasional yang perlu dipertahankan secara bersama.

Semalam, Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum ini, perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling yang dikatakan, bakal mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Berita Harian X