Rabu, 24 Januari 2024 | 7:42pm
Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) dan Chan Kon Yeow.
Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) dan Chan Kon Yeow.

'Langkah mayat saya dulu, jangan campuri hal ehwal Kedah' - Sanusi

ALOR SETAR: 'Langkah mayat saya dulu' demikian tegas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chan Kon Yeow, yang mencadangkan pembentukan Lembaga Lembangan Ulu Muda yang terletak dalam kawasan Kedah.

Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan campur tangan dalam hal ehwal wilayah Kedah, Sanusi bertekad tidak akan membenarkan cadangan seumpama itu dilaksanakan selagi Kedah di bawah pentadbirannya.

"(Mereka) tidak sepatutnya mencampuri wilayah negeri lain... jika mereka bergantung (kepada negeri lain) dan ingin meraih faedah daripada tanggungan, bayar saja apa yang mereka patut bayar.

Tiada lagi pemberian percuma... semudah itu," tegasnya ketika dihubungi NST hari ini.

Sanusi mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air Ulu Muda Kedah.

Pada Isnin, Kon Yeow sekali lagi menggesa Putrajaya mempertimbangkan cadangan Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Beliau dilaporkan berkata, kawasan tadahan air Ulu Muda perlu diurus secara profesional kerana ia adalah kawasan tadahan penting untuk menyalurkan bekalan air mentah kepada tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Kon Yeow mengulas dakwaan RimbaWatch bahawa pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda membentuk kelodak dan tercemar.

Kumpulan alam sekitar itu mendakwa kajian yang dijalankan menerusi pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan kelodak sejak Mac tahun lalu dan mendapan didapati semakin meningkat pada Oktober tahun lalu.

Dakwanya lagi, keadaan itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Sanusi bagaimanapun menolak dakwaan bahawa kekeruhan di takungan Tasik Muda berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Sebaliknya, beliau mendakwa kekeruhan itu berpunca daripada serpihan pasir, tanah dan kayu balak yang mengalir dari empat sungai utama yang mengalir ke dalam takungan sejak 50 tahun lalu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria dilaporkan berkata tiada aktiviti pembalakan berlaku di kawasan yang ditetapkan sebagai hutan lindung di Hutan Simpan Ulu Muda.

Berita Harian X