Rabu, 24 Januari 2024 | 4:02pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

MBPP tarik balik notis larangan jual arak sempena Thaipusam

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diarahkan menarik balik larangan penjualan minuman beralkohol selama tiga hari sempena perayaan Thaipusam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H'ng Mooi Lye, berkata pihaknya mendapati notis larangan itu tidak relevan kepada 51 premis selain menerima aduan daripada puluhan pengusaha restoran.

Katanya, notis larangan penjualan minuman alkohol itu sebelum ini hanya dipraktikkan ke atas lima premis di sekitar Jalan Gottlieb hingga ke Jalan Kebun Bunga berdasarkan pandangan serta nasihat pihak polis.

"Saya hanya mengetahui mengenai larangan itu petang semalam selepas mendapati aduan daripada puluhan pengusaha khususnya restoran makanan yang mempertikaikan tindakan berkenaan memandangkan premis mereka turut dikunjungi pelancong luar negara.

"Jadi selepas meneliti perkara itu, saya dapati larangan tambahan ke atas 51 premis itu tidak berasas dan mengarahkan MBPP menarik semula larangan berkenaan serta-merta," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jason berkata, pihaknya juga sudah menetapkan segala larangan penjualan minuman alkohol dikeluarkan MBPP selepas ini perlu melalui perbincangan serta persetujuan daripada mesyuarat EXCO.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran, berkata pihaknya sudah mengeluarkan notis larangan itu ke atas 56 premis di sepanjang laluan perarakan pedati bagi tempoh tiga hari bermula 24 hingga 26 Januari.

"Notis itu diberi kepada pemilik premis pada 22 Januari lalu namun, kini kita dapati larangan itu tidak perlu dibuat ke atas premis di luar laluan utama Jalan Kebun Bunga.

"Ketika ini pasukan MBPP berada di lapangan bagi menarik semula notis ke atas 51 premis yang dikenal pasti ia termasuk di Jalan Datuk Keramat, Jalan Magazine serta Lebuh Victoria," katanya.

Berita Harian X