Rabu, 24 Januari 2024 | 2:12pm

Bank sekat lebih RM351 juta transaksi penipuan tahun lalu

KUALA LUMPUR: Transaksi penipuan bernilai RM351 juta berjaya dihalang oleh 13 bank yang menjadi ahli Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu.

Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi industri perbankan di negara ini terhadap langkah pencegahan penipuan seterusnya melindungi pelanggan daripada pelbagai jenis penipuan.

Beliau berkata, tindakan pengesanan dan pencegahan oleh bank berjaya menyelamatkan pelanggan daripada ditipu melalui skim seperti e-dagang, permohonan pekerjaan, pelaburan, penyamaran serta penipuan pancingan data.

"Industri perbankan amat berwaspada dan proaktif dalam usaha anti-penipuan, dan komitmen itu diserlahkan dengan pelancaran kempen kesedaran #JanganKenaScam, baru-baru ini.

"Selain itu, menerusi Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan yang pertama dilancarkan pada 2022, industri perbankan secara progresif melaksanakan lima langkah utama dicadangkan Bank Negara (BNM) untuk memerangi penipuan kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairussaleh berkata, lima langkah itu adalah berhijrah daripada kata laluan satu kali (OTP) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat dan mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank.

Selain itu, tempoh pengesahan dan bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan atau peranti selamat; membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan; dan saluran aduan khusus 24 jam, tujuh hari seminggu untuk pelanggan.

"Pelanggan dan orang awam juga dijemput menyertai usaha menentang penipuan kewangan melalui mesej daripada bank tentang pelbagai jenis penipuan dan tindakan mitigasi penipuan yang sepadan melalui pelbagai platform media massa dan sosial bank.

"Usaha bersepadu mewujudkan persekitaran yang lebih berwaspada dan keupayaan untuk mengelakkan penipuan oleh ABM dan AIBIM menandakan usaha kolektif persatuan dan bank ahli untuk mewujudkan persekitaran perbankan yang selamat, di mana pelanggan boleh mempercayai keselamatan transaksi kewangan mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden AIBIM, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata ada kes di mana mangsa yang menyedari mangsa penipuan, segera menghubungi pihak bank untuk membatalkan transaksi dilakukan selepas diperdaya sindiket penipuan.

"Respon pantas pihak bank berjaya menyelamatkan wang hasil titik peluhnya daripada ditipu.

"Pelanggan terbabit menyatakan penghargaannya atas usaha bank dalam memerangi penipuan melalui ciri keselamatan baharu yang ditawarkan kepada pelanggan," katanya.

Jelas beliau, segala langkah keselamatan yang dipertingkatkan pihak bank itu dapat membantu menyelamatkan sejumlah besar dana pelanggan daripada menjadi mangsa penipuan.

"ABM, AIBIM dan bank ahli akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan pengawal selia kewangan termasuk BNM, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cyber Security Malaysia.

"Ini untuk membantu menyebarkan mesej bahawa pelanggan harus kekal berwaspada dan berhati-hati semasa menjalankan transaksi kewangan," katanya.

Berita Harian X