Rabu, 24 Januari 2024 | 1:28pm
KWSP menggalakkan ahli untuk memanfaatkan program i-Saraan dan i-Suri. - NSTP/Asyraf Hamzah
KWSP menggalakkan ahli untuk memanfaatkan program i-Saraan dan i-Suri. - NSTP/Asyraf Hamzah

Had maksimum i-Saraan dinaikkan kepada RM500 setahun

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Januari 2024, had maksimum insentif caruman padanan kerajaan untuk program i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 setahun.

Rakyat Malaysia yang berumur di bawah 60 tahun, berada dalam sektor tidak formal, termasuk yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, serta mencarum secara sukarela di bawah program i-Saraan, akan menerima insentif padanan sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela, tertakluk kepada had insentif maksimum RM500 setahun.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Saraan yang mencarum, tertakluk kepada insentif seumur hidup maksimum RM5,000.

"Ini bertujuan untuk menggalakkan mereka terus menyimpan untuk persaraan dan membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada insentif kerajaan ini.

"Bagi setengah tahun pertama 2023, insentif kerajaan sebanyak RM28 juta telah dikreditkan kepada 211,361 ahli di bawah program i-Saraan," katanya.

Bagi program i-Suri pula, kerajaan akan memberi insentif caruman padanan sebanyak 50 peratus ke atas setiap RM1 sumbangan sukarela suri rumah yang berumur 55 tahun dan ke bawah, serta berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih, tertakluk kepada had insentif maksimum sebanyak RM300 setahun.

Kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Suri yang mencarum, tertakluk kepada had insentif seumur hidup maksimum RM3,000.

Bagi tahun 2023, insentif kerajaan sebanyak RM19 juta telah dikreditkan kepada 42,532 ahli di bawah program i-Suri.

"KWSP menggalakkan ahli untuk memanfaatkan program i-Saraan dan i-Suri bagi membina simpanan persaraan mereka di samping memastikan masa depan yang lebih terjamin dan sejahtera," kata KWSP.

Dalam pada itu, bermula 1 Januari 2024, KWSP telah mengasingkan portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah yang berkaitan dengan pelaburan patuh Syariah secara strategik bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan alokasi aset strategik yang tersendiri bagi setiap portfolio.

Langkah itu adalah sebahagian daripada beberapa siri penambahbaikan strategik produk dan polisi yang memberi kesan terhadap memperkukuh masa depan persaraan serta jaminan pendapatan ahli KWSP bermula pada tahun ini.

KWSP berkata, sejak Belanjawan 2023 diumumkan, ia telah berusaha ke arah pelaksanaan pengasingan ini bagi menyelaraskan mandat dan objektif strategik jangka panjang Simpanan Shariah.

"Ini juga merupakan langkah proaktif untuk memastikan aset di bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional dipelbagaikan dengan baik merentasi kelas aset, pasaran, negara dan mata wang untuk pulangan yang mampan," katanya.

Simpanan Shariah telah diperkenalkan pada Januari 2017 sebagai pilihan kepada ahli yang mahukan simpanan KWSP mereka diurus dan dilaburkan mengikut prinsip Syariah.

Sehingga 30 September 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.092 trilion, 39 peratus daripada jumlah berkenaan merupakan aset Syariah, dan 61 peratus aset konvensional.

KWSP menjelaskan, di samping mematuhi amalan pelaburan beretika yang mengelakkan sektor seperti alkohol, perjudian, hiburan dewasa dan senjata ketenteraan, Simpanan Shariah menggunakan proses penapisan Syariah yang ketat dan kontrak Syariah yang sesuai dalam pelaburannya.

"Proses ini adalah berdasarkan kriteria dan polisi yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah KWSP, memastikan semua aset pelaburan adalah selaras dengan prinsip Syariah, menghapuskan unsur-unsur tidak patuh Syariah seperti riba, ketidakpastian dalam kontrak, serta perkara yang dilarang seperti barangan dan perkhidmatan tidak halal," katanya.

Sementara itu, KWSP turut menambah baik platform i-Invest bagi membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian

Penambahbaikan ini membolehkan ahli untuk melakukan transaksi membabitkan portfolio mandat persendirian yang diluluskan, sebagai tambahan kepada dana unit amanah yang diluluskan melalui platform i-Invest.

Sebelum ini, ahli hanya boleh membeli, menjual atau menukar portfolio mandat persendirian yang diluluskan melalui ejen sahaja.

Berita Harian X