Rabu, 24 Januari 2024 | 10:32am
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Rafail Walangitan.- Foto NSTP/Izwan Abdullah
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Rafail Walangitan.- Foto NSTP/Izwan Abdullah

Pembukaan Nusantara tidak beri kesan serius tenaga kerja Indonesia di Sabah

KOTA KINABALU: Pemindahan ibu kota negara (IKN) Indonesia ke Nusantara, Kalimantan Timur yang dijadual bermula Julai depan dijangka tidak menyebabkan kesan yang serius terhadap jumlah tenaga kerja negara itu di Sabah.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Rafail Walangitan, berkata ia kerana perkara itu berkait rapat dengan permintaan dan penawaran kerja, khususnya dalam sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini.

Katanya, populasi rakyat Indonesia yang besar juga menyebabkan persaingan kerja yang tinggi di negara itu, secara tidak langsung mendorong ramai berhijrah ke Sabah untuk bekerja dalam sektor perladangan.

Berikutan itu, katanya tidak timbul persoalan sama ada lebih 130,000 warga Indonesia yang direkodkan bekerja di Sabah ketika ini bakal berpindah ke Kalimantan apabila IKN di Nusantara dibuka secara rasmi mulai Julai depan.

"Persoalan ini berhubung kait dengan permintaan dan penawaran. Sebetulnya di manapun rakyat Indonesia mahu bekerja, mereka boleh bekerja, yang penting mengikut peraturan.

"Kalaupun bekerja di Indonesia dan ada pilihan untuk mereka boleh bekerja, mungkin mereka akan memilih di Indonesia. Tetapi, kalau mungkin kurang (kerja) memandangkan jumlah rakyat Indonesia cukup besar, tentunya mereka juga akan mecari kerja di tempat lain.

"Jadi, kehadiran mereka di Sabah ini sama saja, tiada beza. Bezanya mereka kerja di luar negeri dan mungkin mereka mendapat pendapatan lebih baik sesuai dengan kemahiran mereka, contohnya berkebun (berladang)," katanya kepada pemberita pada perjumpaan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu bersama media Sabah, di sini, semalam.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan sektor perladangan di Sabah berdepan masalah tenaga kerja jika warga Indonesia yang bekerja di negeri ini berpindah ke Kalimantan, berikutan jangkaan pembangunan pesat wilayah itu sejajar pemindahan IKN ke Nusantara.

Ketika ini, katanya majoriti tenaga kerja Indonesia di Sabah bekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit dengan ada antara mereka berasal dari wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT), selain Toraja, Sulawesi.

"Jadi, kita mengharapkan tidak timbul persoalan mengenai tenaga kerja yang serius apabila IKN itu nanti dibuka, bahkan ia diharap akan membuka lapangan pekerjaan yang lebih banyak lagi, itu yang kita inginkan," katanya.

Berita Harian X