Selasa, 23 Januari 2024 | 5:40pm
Agensi Kelayakan Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja bekerjasama menubuhkan badan penarafan TVET. - Foto hiasan
Agensi Kelayakan Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja bekerjasama menubuhkan badan penarafan TVET. - Foto hiasan

Badan penarafan tunggal TVET ditubuh tahun ini

PUTRAJAYA: Badan penarafan tunggal program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diwujudkan tahun ini bagi menyeragamkan kualiti program yang ditawarkan di institusi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penarafan itu akan dilakukan dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Saya sedar wujud pelbagai agensi dan penyedia TVET yang menawarkan program itu di pelbagai peringkat. Namun, matlamatnya tetap sama iaitu menyediakan tenaga mahir kompeten yang dapat memenuhi kehendak pasaran atau pemegang taruh.

"Sehubungan itu, penarafan tunggal program TVET diperkenal di bawah Rancangan Malaysia ke-12 sebagai sistem penarafan seragam bagi menilai kualiti program berdasarkan indikasi yang holistik," katanya di sini hari ini.

Penubuhan badan penarafan tunggal itu dibincangkan dan dipersetujui melalui Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) yang dipengerusikan Ahmad Zahid, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata petunjuk menyeluruh yang ditekankan termasuk elemen keberhasilan seperti kebolehpasaran dan pembabitan industri.

Beliau berkata, penarafan itu juga dibuat untuk menyesuaikan semua program TVET kerana terdapat perbezaan permintaan daripada industri.

Katanya, perubahan sukatan pengajaran boleh dibuat berdasarkan permintaan daripada penggiat industri bagi mengelakkan ketidakpadanan.

Sehingga kini terdapat sebanyak 1,345 institusi TVET di dalam negara membabitkan 12 kementerian, selain 94,000 pelajar sedia ada TVET di kolej vokasional dan sekolah menengah teknik.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, terdapat peningkatan permohonan pelajar melalui unit pusat TVET yang kini merekodkan sebanyak 134,000 bagi pengambilan Jun dan September, berbanding 67,000 tahun lalu.

Beliau berkata, program baharu dalam bidang pertanian dan perladangan membabitkan penuaian akan turut diperkenal di institusi TVET bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam industri berkenaan.

"Majlis TVET negara mahu latihan kemahiran dapat dilakukan juga dalam bidang perladangan. Contohnya pengambil buah sawit tidak lagi terdiri daripada pekerja asing tetapi pekerja mahir daripada TVET.

"Mereka akan diberikan taraf penuaian lebih tinggi dan ia dijangka boleh memanfaatkan sebanyak 450,000 ladang kelapa sawit yang tiada pekerja," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kemasukan ke institusi TVET dalam kalangan pelajar lepasan tingkatan tiga juga akan diperkasakan di semua kolej vokasional dan sekolah menengah teknik bagi menggalakkan tenaga mahir di peringkat usia lebih awal.

Katanya, institusi TVET turut China menawarkan lebih 2,000 tempat kepada pelajar dalam program itu di negara ini untuk melanjutkan pengajian di negara berkenaan, susulan kualiti lepasan bidang itu yang menyamai dengan kelulusan minimum China.

Berita Harian X