Selasa, 23 Januari 2024 | 3:21pm
UPM
UPM

Jurnal sejarah kajian UPM wajar dibincang secara akademik

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan, artikel kajian 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' disenaraikan dalam pangkalan data Excellence In Research For Australia (ERA) mempunyai polisi 'blind peer reviewed, refereed journal'.

UPM dalam kenyataannya, berkata perkara berkenaan bermaksud jurnal kajian itu sudah disemak oleh pakar dalam bidang, yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan dapatan kajian.

"UPM memandang serius dakwaan yang ditujukan kepada universiti. Oleh kerana penyelidikan ini adalah bersifat akademik, UPM berpandangan adalah wajar isu ini dibincangkan dalam ruang akademik.

"Juga harus dipertimbangkan bahawa bidang sains sosial dan kemanusiaan adalah terbuka kepada interpretasi untuk pelbagai tafsiran yang mana ia adalah amalan baik untuk kajian seperti ini bagi tujuan penambahbaikan," katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, UPM komited memelihara martabat pendidikan tinggi serta meneruskan integriti dalam aktiviti penyelidikan ilmiah dan penerbitan akademik.

Semalam, seorang sejarawan Perancis mendakwa dua ahli akademik dari UPM menampilkan fakta salah berkaitan sejarah pelayaran Melayu dan mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik tempat ia diterbitkan.

Dalam satu catatan Facebook, Serge Jardin menamakan Rozita Che Rodi dan Hashim Musa - kedua-duanya ahli akademik dari UPM - sebagai penulis kertas berjudul 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023.

Jardin mendakwa imej yang digunakan dalam kertas mereka untuk menunjukkan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda, dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.

Berita Harian X