Isnin, 22 Januari 2024 | 6:37pm
Hussein bersama Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi a/p Subramaniam dan turut hadir Pegawai-Pegawai Kanan Polis ketika mengadakan sidang media mengenai Sempena Perayaan Thaipusam di Dewan Kuil Batu Caves. - Foto NSTP/Amirudin Sahib
Hussein bersama Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi a/p Subramaniam dan turut hadir Pegawai-Pegawai Kanan Polis ketika mengadakan sidang media mengenai Sempena Perayaan Thaipusam di Dewan Kuil Batu Caves. - Foto NSTP/Amirudin Sahib

Anggota MPV, URB lebih lima tahun akan ditukar tugas - Ketua Polis Selangor

GOMBAK: Polis Kontinjen Selangor akan melaksanakan program mobilisasi atau pertukaran tugas ke atas 167 anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata program itu memfokuskan anggota MPV dan URB yang sudah bertugas di posisi itu melebihi tempoh lima tahun.

Katanya, program mobilisasi itu juga sebagai salah satu tindakan drastik dalam mencegah berlaku salah laku dan salah guna kuasa dalam kalangan anggotanya yang bertugas di lapangan.

"Mereka akan ditukarkan ke unit lain dan tugas mereka akan digantikan dengan anggota daripada unit berasingan. Ia juga bagi memberi peluang mereka untuk membuat tugasan lain.

"Kita tidak mahu mereka membuat tugasan yang sama untuk tempoh yang lama. Bila sudah terlalu lama menjalankan tugas yang sama, mereka menjadi bosan dan kemungkinan boleh terdedah dengan salah laku," katanya dalam sidang media di Markas Tektikal (MARTEK) Polis di Kuil Batu Caves di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hussein berkata bagi tempoh sepanjang tahun lalu, Polis Kontinjen Selangor membuka 311 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan tatatertib dan kes jenayah membabitkan pegawai dan anggotanya.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 33 orang sudah dituduh di mahkamah, 14 orang ditahan kerja dan 21 orang lagi dikenakan tindakan gantung tugas dan dibuang kerja.

"Seramai 11 dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah, manakala 11 lagi atas pelbagai kes jenayah dan selain itu, terdapat seorang terbabit kes yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Untuk tempoh sepanjang tahun ini, seramai 11 orang sudah dituduh di mahkamah terdiri daripada seorang pegawai dan 10 anggota pangkat rendah," katanya.

Beliau menegaskan tiada kompromi dalam isu ini dan pihaknyamengambil tindakan sewajarnya dengan menjalankan siasatan dan membawa mana-mana pegawai dan anggotanya yang terbabit salah laku jenayah ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, katanya penyelia kepada pegawai atau anggota terbabit salah laku juga akan diambil tindakan mengikut Peraturan 3C, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993.

"Sekiranya kita kesan penyelia itu gagal menjalankan penyeliaan yang sewajarnya ke atas anggota atau pegawai bawahannya, akan berdepan tindakan mengikut Peraturan 3C.

"Selain itu, kita juga tubuhkan dua 'task force' (pasukan khas) di peringkat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kontinjen Selangor sebagai pasuka tambahan untuk melakukan pengawasan selain Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)," katanya.

Tambah beliau, walaupun hanya segelintir pegawai dan anggotanya terbabit salah laku dan jenayah berbanding 15,000 warga Polis Kontinjen Selangor, pihaknya tidak akan mengambil ringan isu itu.

Berita Harian X