Isnin, 22 Januari 2024 | 4:34pm
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.

Penjawat awam mesti kuasai AI - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Pembabitan penjawat awam dalam 'Program AI Untuk Rakyat' akan dapat memberi kesan positif serta nilai tambah yang baik kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam, kata Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.

Katanya, kecerdasan buatan atau AI adalah bidang yang mesti dikuasai penjawat awam kerana ia mampu meningkatkan kecekapan dalam memproses sesuatu data, selain memberi impak yang besar kepada pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai cara.

"Walaupun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menetapkan tempoh masa khusus kepada penjawat awam untuk menyelesaikan program 'AI Untuk Rakyat', CUEPACS berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh segera sebagai contoh kepada masyarakat awam.

"Sebagai kumpulan yang melaksanakan dasar kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab penjawat awam untuk menjadi yang terkehadapan dalam menjayakan inisiatif dibawa kerajaan," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz melalui pekeliling bertarikh 17 Januari lalu, mengarahkan penjawat awam menyelesaikan program pembelajaran dalam talian itu demi memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.

Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam pada peringkat kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa berkanun Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pembabitan penjawat awam dalam program 'AI Untuk Rakyat' yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu, antara lain bertujuan meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam.

Adnan berkata, semua ketua jabatan boleh bekerjasama untuk menyusun masa yang sesuai kepada semua kakitangan bagi menyelesaikan sesi asas berkenaan.

"Walaupun negara mempunyai kira-kira 1.7 juta penjawat awam, tiada masalah sekiranya semua ketua jabatan mengambil peranan untuk memastikan setiap kakitangan mereka terbabit dalam program berkenaan.

"CUEPACS juga minta semua semua penjawat awam untuk segera mendaftar dan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada 2 Januari lalu. Tak perlu tunggu saat akhir untuk lengkapkan pendaftaran yang akhirnya hanya akan menimbulkan masalah kemudian hari," katanya.

Katanya, pengumpulan data penjawat awam dalam sistem itu amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan mereka yang menjadi justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan CUEPACS.

"Kedua-dua agenda, 'AI Untuk Rakyat' dan pendafataran sistem PADU mesti dijadikan keutamaan oleh penjawat awam. Pembabitan dalam program itu sewajarnya dilihat dari konteks positif oleh semua pihak dalam perkhidmatan awam.

"Ini kerana ia selari dengan inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam yang dilaksanakan kerajaan sebagai panduan kepada agensi dalam sektor awam bagi memacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital," katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam berjaya, sudah tentu usaha untuk melengkapkan penjawat awam dengan pengetahuan digital perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Berita Harian X