Isnin, 22 Januari 2024 | 11:39am
Abdul Wahab (kiri) tuntut Chegubard bayar RM5 juta kerana fitnah. - Foto BH
Abdul Wahab (kiri) tuntut Chegubard bayar RM5 juta kerana fitnah. - Foto BH

Wahab tuntut Chegubard bayar RM5j, mohon maaf

KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kader Jilani, menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, atas dakwaan memfitnah.

Ia susulan dakwaan bahawa Chegubard menyiarkan video menerusi Facebook kononnya, Abdul Wahab sedang berbual lucah dengan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Dr Mohammad Agus Yusoff, bertujuan menunjukkan aktiviti tidak bermoral atau homoseksual.

Abdul Wabab yang juga Naib Ketua Angkatan Muda PKR Cabang Hulu Langat berkata, bayaran ganti rugi oleh Chegubard kepada beliau masing-masing selaku defendan dan plaintif adalah antara relif dimohon.

Beliau juga memohon Chegubard membuat permohonan maaf dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dan diterbitkan beberapa akhbar termasuk Berita Harian, Facebook serta Telegram defendan selama 30 hari berturut-turut.

"Relif lain bahawa hantaran Facebook pertama dan kedua adalah fitnah terhadap plaintif, selain video dimuat naik dalam Telegram defendan juga adalah fitnah.

"Defendan menceroboh privasi plaintif dengan menyebarkan video itu dan perlu memadam penyataan fitnah daripada semua laman serta platform media sosial.

"Permohonan supaya defendan atau melalui pengkhidmat dan ejen dihalang, ditahan dan ditegah daripada mengeluarkan secara langsung atau tidak langsung penyataan fitnah.

"Defendan perlu melupuskan semua video berkaitan plaintif yang berada dalam simpanan, manakala faedah atas jumlah ganti rugi pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian penuh oleh defendan," katanya dalam penyataan tuntutan difailkan firma guaman Tetuan Faizal & Co di Mahkamah Tinggi, pada 22 Disember lalu.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu serta disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu iaitu Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Abdul Wahab kemudian menghantar surat tuntutan saman kepada Badrul Hisham serta Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan J-KOM, Hakim Ramlee, berhubung penularan video terbabit.

Abdul Wahab berkata, penyataan fitnah oleh Chegubard adalah mengaibkan, menjatuhkan maruah dan imejnya sebagai seorang Muslim, penjawat awam serta ahli politik.

Selain itu, ia didakwa mengakibatkan cemuhan oleh masyarakat hingga plaintif mengalami depresi dan tekanan perasaan.

"Penyataan fitnah berkenaan adalah dusta, palsu dan tidak benar yang dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan imej, menjatuhkan martabat dan nama baik plaintif.

"Ia menimbulkan persepsi negatif oleh masyarakat umum ke atas plaintif dan menjejaskan kredibilitinya pada pandangan masyarakat umum serta majikan.

"Plaintif hilang punca pendapatan selepas hantaran fitnah disebarkan oleh defendan," katanya.

Berita Harian X