Ahad, 21 Januari 2024 | 7:31pm
Mohd Na'im (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pasca banjir kepada penduduk di Kampung Sungai Telor hari ini. NSTP/OMAR AHMAD
Mohd Na'im (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pasca banjir kepada penduduk di Kampung Sungai Telor hari ini. NSTP/OMAR AHMAD

JAKIM salurkan RM1.54 juta bantuan pasca banjir di Johor

KOTA TINGGI: Sebanyak RM1.54 juta bantuan bagi misi pasca banjir disalurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata jumlah itu membabitkan sumbangan beberapa agensi di bawah kementeriannya bagi membiayai bantuan baik pulih rumah, barangan keperluan pembersihan, keperluan dapur, makanan kering, lampin pakai buang bayi, kit solat dan sumbangan tunai.

"Dalam lawatan dua hari sejak semalam, kami menyantuni penerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM39,995 di Kampung Bukit Sedenak, Paya Redan Pagoh dekat Muar.

"Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan RM1 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi bantuan banjir negeri itu, manakala Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menerusi Rumah Sinar Lestari YaPEIM pula menyumbang RM60,000 kepada seorang penerima di Kampung Kurnia Johor Bahru.

"Yayasan Taqwa MAIWP pula menyerahkan sumbangan RM119,959.25 kepada seorang penerima di Kampung Sri Jaya Baru 6, Tampoi menerusi Bayt Ar-Rahmah," katanya selepas agihan misi bantuan pasca banjir agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kampung Sungai Telor di sini, hari ini.

Sementara itu, 120 penerima sumbangan menerima pelbagai bantuan keperluan rumah, makanan dan wang tunai dengan nilai keseluruhan lebih RM300,000.

Mohd Na'im berkata, pemilihan mangsa yang mendapat sumbangan petang ini dibuat pihak berkuasa negeri yang menentukan kelayakan mereka.

"Kita tahu ia tidak mampu mengganti kesedihan mereka, tetapi sumbangan ini diharap dapat meringankan beban dihadapi mangsa bencana," katanya.

Berita Harian X