Ahad, 21 Januari 2024 | 5:01pm
Adnan Mat (kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali (kiri) selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah Tahun 2024 hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Adnan Mat (kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali (kiri) selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah Tahun 2024 hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

CUEPACS minta kerajaan segera naikkan RM300 gaji penjawat awam

SUNGAI PETANI: CUEPACS minta kerajaan segera naikkan gaji penjawat awam tanpa perlu menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ini kerana kedudukan gaji penjawat awam pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan, susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, berkata walaupun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan SSPA mungkin siap penghujung tahun ini, CUEPACS mahu kenaikan gaji penjawat awam dibuat lebih awal tanpa perlu menunggu sistem itu siap.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Kenangan Sultan Abdul Hamid, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) hari ini.

"Apa yang kami cadangkan ialah kenaikan RM300 dan ia akan diselaraskan semula apabila SSPA siap kelak. Jika kerajaan tidak mampu, CUEPACS akan tetap meneruskan tuntutan. Mungkin bukan dalam bentuk gaji sebaliknya dalam bentuk elaun khas sistem saraan dan elaun ini akan ditutup apabila sistem siap dan pelarasan gaji diumumkan oleh kerajaan," katanya.

Menurut Adnan lagi setakat ini semua tuntutan yang dikemukakan CUEPACS dipandang secara serius oleh kerajaan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebut agar penjawat awam mendapat pulangan yang baik dan diberi gaji yang lebih adil dengan pekerjaan mereka.

"Semua tuntutan CUEPACS dipertimbangkan oleh kerajaan, mungkin sedikit terlewat dari segi pelaksanaan sistem saraan ini, maka disebabkan itu kami minta kenaikan gaji dibuat lebih awal," katanya.

Berita Harian X