Ahad, 21 Januari 2024 | 4:51pm
 Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto fail NSTP/Faiz Anuar
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto fail NSTP/Faiz Anuar

Sanusi nafi dakwaan RimbaWatch berkaitan pembalakan di Ulu Muda

PETALING JAYA: Kerajaan Kedah menafikan dakwaan mendapan selut berhampiran empangan Tasik Muda berpunca akibat aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ia sebaliknya disebabkan oleh pasir, tanah dan serpihan kayu dihanyutkan empat sungai utama yang menyalurkan bekalan air ke empangan berkenaan.

Selain itu, katanya, aktiviti pembalakan di Kedah mematuhi peraturan dan standard antarabangsa, selain semua keperluan serta peraturan dikenakan ke atas industri kayu dipatuhi dengan tegas dan dikuatkuasakan Jabatan Perhutanan negeri.

"(Keadaan) ini berlarutan sejak lebih 50 tahun, bukan hanya dalam satu atau dua tahun lalu.

"Justeru, tiada masalah. Mendapan berlaku di semua kawasan takungan air semula jadi, selain empangan (Tasik Muda) sudah berusia lebih 50 tahun," katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau mengulas dakwaan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar, RimbaWatch berhubung kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian itu dilakukan menerusi pantauan imej satelit yang mendapati Empangan Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac 2023, selain keadaan itu didapati semakin membesar pada Oktober lalu.

Masalah itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menafikan, memberi kelulusan bagi aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan berkeluasan 173,000 hektar yang mengelilingi empangan Tasik Muda, selain menegaskan ia adalah kawasan dilindungi.

Beliau mendakwa, kajian RimbaWatch itu didorong keinginan NGO itu menubuhkan agensi khusus seperti pihak berkuasa Lembangan Sungai Muda, dikatakan 'bertujuan membolehkan negeri lain campur tangan dalam hal di Kedah."

Katanya, empangan Tasik Muda dipantau Lembaga Kemajuan Pertanian Muda yang bertanggungjawab bagi urusan pembangunan dan pengurusan sistem pengairan Muda serta Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.

"Aktiviti pembalakan (haram) mungkin mencipta beberapa berita sensasi dan meningkatkan reputasi mereka (RimbaWatch), tetapi fakta mereka harus tepat, bukannya untuk memburukkan pihak lain," katanya.

Berita Harian X