Ahad, 21 Januari 2024 | 3:00pm
Kumpulan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kawasan Empangan Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. NSTP/Ihsan RimbaWatch
Kumpulan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kawasan Empangan Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. NSTP/Ihsan RimbaWatch

Kekeruhan air Tasik Muda hanya bersifat sementara

ALOR SETAR: Kadar taburan hujan dan bilangan hari hujan yang tinggi menyebabkan berlakunya kekeruhan bersifat sementara di kawasan tadahan air Tasik Muda di Hutan Simpan Ulu Muda.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Muhamad Abdullah, berkata keadaan itu tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air di Pulau Pinang.

Katanya, pembalakan tidak berlaku di kawasan tadahan air, sebaliknya pembalakan hanya dilulus dan dilaksanakan dalam kawasan Hutan Pengeluaran.

"Memang ada kelulusan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda...pembalakan dilulus dan dilaksanakan dalam kawasan Hutan Pengeluaran.

"Pembalakan tidak dibenarkan dan tidak dilaksanakan bagi kawasan Hutan Simpan Ulu Muda yang dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan contohnya, Hutan Tadahan Air dan Hutan Taman Negeri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee, mendakwa terdapat balak dikumpulkan di kawasan Belantek, Sik, sekali gus membuktikan aktiviti pembalakan masih aktif di Hutan Simpan Ulu Muda ketika ini.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri tidak terus menafikan kononnya tiada kegiatan pembalakan berlaku di kawasan hutan berkenaan sedangkan kesan pembalakan di kawasan itu jelas kelihatan.

Kerajaan negeri sebelum ini menafikan terdapat aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda seperti didakwa kumpulan alam sekitar susulan berlaku mendapan selut di Tasik Muda akibat kegiatan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, berkata kawasan itu adalah hutan perlindungan yang menjadi hutan tadahan air.

Kelmarin, Rimba Watch dilaporkan mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu dan semakin membesar pada Oktober lalu.

Masalah itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Berita Harian X