Ahad, 21 Januari 2024 | 2:11pm
Ahmad Zahid (depan dua, kiri) beramah mesra bersama masyarakat India yang hadir pada Majlis Sambutan Ponggal Perpaduan 2024 di Seksyen 16, Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA
Ahmad Zahid (depan dua, kiri) beramah mesra bersama masyarakat India yang hadir pada Majlis Sambutan Ponggal Perpaduan 2024 di Seksyen 16, Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Anak muda masyarakat India harus diberi peluang ceburi TVET berteknologi tinggi

SHAH ALAM: Tumpuan dan peluang harus diberikan kepada anak-anak muda masyarakat India dalam menceburi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berteknologi tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia penting dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan melalui pendidikan selain membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan masyarakat India.

"Kita (kerajaan) memberi perhatian terutama kepada kemiskinan bandar, untuk mengatasi kemiskinan bukan hanya dalam bentuk sokongan kewangan semata-mata tetapi mesti menggunakan satu proses untuk menstrukturkan semula kedudukan ekonomi melalui pendidikan.

"Biarpun masyarakat Melayu dan Bumiputera (kaum) terbesar di negara ini namun usaha-usaha untuk melayani semua (kaum) di negara ini mesti terus dipertingkatkan dan kaedah terbaik adalah melalui pendidikan," katanya pada Majlis Ponggal Perpaduan 2024, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, antara bidang TVET berteknologi tinggi yang dikenal pasti adalah kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan teknologi berkaitan hidrogen yang membolehkan lepasan pelajar TVET mempunyai kemahiran tinggi dan dapat terus bekerja dalam sektor yang penting.

Katanya, kerjasama sudah dilakukan dengan pemain industri yang mana pelajar lepasan TVET akan terus bekerja dengan syarikat di Malaysia dan antarabangsa.

"Ini yang telah kita lakukan tetapi kita akan tumpukan juga kepada anak-anak muda masyarakat India dan saya akan pastikan ia dilakukan pada tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan terus menyantuni permasalahan dalam kalangan kaum berkenaan selain menyarankan agar lebih banyak disediakan tempat untuk anak-anak muda India lepasan sekolah dan yang tercicir dalam pendidikan di institusi TVET.

"Kita akan sesuaikan minat mereka dalam bidang tertentu untuk dilatih di dalam TVET dan bekerjasama dengan institusi dan universiti teknikal di India untuk kita mempromosi TVET yang berdasarkan pendidikan teknologi terbaharu di dunia," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan perkara itu direalisasikan bagi menjaga kebajikan lebih 1.2 juta pekerja yang terlibat dalam bidang itu di negara ini.

"Walaupun terdapat beberapa kekangan, saya bersama Perdana Menteri pasti merealisasikan suruhanjaya itu, saya sendiri telah bawa (cadangan itu) suatu ketika dahulu dan akan merealisasikan dengan persetujuan kabinet seluruhnya," katanya.

Berita Harian X