Sabtu, 20 Januari 2024 | 4:31pm
nasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee
nasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee

'Kenapa nafi sedangkan kesan pembalakan jelas kelihatan?'

ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak boleh terus menafikan kononnya tiada kegiatan pembalakan berlaku di Hutan Simpan Ulu Muda sedangkan kesan pembalakan di kawasan itu jelas kelihatan.

Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee, mendakwa ini kerana terdapat balak dikumpulkan di kawasan Belantek, Sik, sekali gus membuktikan aktiviti pembalakan masih aktif ketika ini.

"Berdasarkan pemerhatian pihak saya, pembukaan kawasan pembalakan sangat besar dan drastik di Ulu Muda, malah saya ada simpan gambar balak di matau Belantek, sekali gus membuktikan kegiatan itu masih ada di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

"Jadi, kerajaan negeri tak boleh terus nafi keadaan ini, apa yang perlu dilakukan adalah hentikan pembalakan di Ulu Muda kerana banyak kesan negatif kepada manusia, alam sekitar dan hidupan liar," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini menafikan terdapat aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda seperti didakwa kumpulan alam sekitar susulan berlaku mendapan selut di Tasik Muda akibat kegiatan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, berkata kawasan itu adalah hutan perlindungan yang menjadi hutan tadahan air.

Semalam, media melaporkan, Rimba Watch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu dan semakin membesar pada Oktober lalu.

Masalah itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Mohd Sobri berkata, kegiatan pembalakan juga turut menyebabkan konflik antara manusia dan hidupan liar yang semakin tenat terutama gajah.

Malah, beliau mendakwa, nelayan darat di kawasan tasik di Ulu Muda turut merungut tangkapan ikan semakin berkurangan akibat banyak sungai di kawasan itu keruh dan berselut.

"Kadar hidupan liar terjejas sangat tinggi, contohnya gajah apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berapa kali memindahkan haiwan itu pada tahun lalu.

"Selain itu, banyak tanaman dan pokok buah-buahan ditumbangkan gajah pada tahun lalu dan konflik yang berlaku ini adalah kesan pembalakan yang luas," katanya.

Berita Harian X