Sabtu, 20 Januari 2024 | 2:09pm
Hajiji menandatangani plak pemasyhuran Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) di Kota Belud. - Foto NSTP/Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Hajiji menandatangani plak pemasyhuran Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) di Kota Belud. - Foto NSTP/Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

Kinabalu UNESCO Global Geopark dimasyhur hari ini

KOTA BELUD: Kawasan pergunungan di utara Banjaran Crocker hari ini secara rasmi dimasyhur sebagai Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP), menjadikannya Global Geopark kedua di negara ini selepas Langkawi UNESCO Global Geopark.

Pemasyhuran KUGGP yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 24 Mei tahun lalu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

KUGGP mempunyai keluasan 4,750 kilometer persegi yang meliputi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau dengan sebanyak 423 kampung terkandung di dalamnya.

Dalam ucapannya, Hajiji berkata KUGGP mampu memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada masyarakat terutama 291,300 penduduk di tiga daerah yang terbabit.

Katanya, kewujudan geopark itu akan memberi banyak peluang kepada komuniti terutama dalam meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan pengekalan budaya setempat.

"Sudah pasti ini memberi manfaat besar seperti peluang perniagaan, pekerjaan dan pelancongan. Kewujudan geopark ini boleh memberi manfaat kepada pesawah padi di Kota Belud, pekebun kelapa di Kota Marudu dan pekebun sayur di Kundasang, Ranau.

"Antaranya, adalah melalui pendekatan peluang pemasaran ke seluruh dunia yang sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke kawasan geopark.

"Selain itu, program pendidikan dan kesedaran mengenai amalan kelestarian di kawasan geopark juga dapat memberi nilai tambah kepada hasil pertanian.

"Begitu juga peningkatan infrastruktur di kawasan geopark akan membawa kepada pembangunan jaringan jalan raya dan kemudahan awam selain peluang perniagaan seperti homestay yang dapat mencipta peluang pekerjaan baharu seperti pemandu pelancong yang diisi anak-anak tempatan," katanya.

Selain pemasyhuran KUGGP, Hajiji turut menyempurnakan Pelancaran Sambutan Jubli Intan Taman-Taman Sabah (TTS) selaku agensi bertanggungjawab terhadap pengurusan geopark di Sabah.

Hajiji berkata, pengikhtirafan sebagai geopark itu juga adalah satu pencapaian yang baik bagi kerajaan negeri di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri serta TTS.

"Hala Tuju SMJ adalah selari dengan konsep geopark dan sudah pasti kawasan ini bakal menjadi destinasi geo pelancongan global pada masa akan datang.

"Justeru, tiga tumpuan utama geopark iaitu pemuliharaan sumber alam, pembangunan infrastruktur asas dan penjanaan sosio ekonomi rakyat yang mendiami kawasan ini perlu diberi penekanan.

"Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 juga sudah diterima daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. Selanjutnya kita akan bincangkan dalam Kabinet negeri untuk mendapat persetujuan sebelum diterima pakai kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, beliau menggesa semua pihak terutama penduduk di kawasan geopark supaya bekerjasama dengan kerajaan untuk memelihara khazanah negeri daripada dirosakkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X