Sabtu, 20 Januari 2024 | 1:49pm

Harian Metro rangkul Perak Anugerah Putra Brand 2023

PETALING JAYA: Harian Metro berjaya merangkul Perak pada Anugerah Putra Brand 2023 bagi kategori Rangkaian Media.

Tahun lalu akhbar berbahasa Melayu nombor satu negara terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) ini meraih Gangsa dalam kategori sama.

Selain Harian Metro yang mewakili jenama daripada kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima), saluran televisyen TV3 dan stesen radio milik Media Prima Audio (MPA) Hot FM pula berjaya meraih Gangsa.

Anugerah itu masing-masing diterima Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof serta Ketua Pegawai Pemasaran Media Prima, Amir Rasyidi Johari mewakili TV3 manakala Hot FM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Rafiq Razali.

Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek (tengah) menerima anugerah Perak dalam kategori Rangkaian Media di Petaling Jaya, malam tadi. - Foto NSTP/Sadiq Sani
Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek (tengah) menerima anugerah Perak dalam kategori Rangkaian Media di Petaling Jaya, malam tadi. - Foto NSTP/Sadiq Sani

Yusri ketika ditemui berkata anugerah membuktikan Harian Metro diiktiraf seluruh rakyat Malaysia sebagai 'people choice' (pilihan rakyat) dan sudah pasti akan menyuntik semangat mengukuhkan lagi kedudukan.

"Melihat pencapaian Harian Metro, kemenangan Perak dalam Anugerah Putra Brand 2023 ini menunjukkan bahawa Harian Metro semakin dikenali, semakin kuat.

"Sebelum ini tahun lalu kita dapat Gangsa dan tahun ini kita naik satu tangga iaitu dapat Perak. Cuma kita ada dua langkah lagi iaitu untuk mendapatkan Emas dan Platinum.

"Jadi kita akan berusaha untuk mengembangkan lagi jenama Harian Metro supaya terus menjadi Platinum satu hari nanti," katanya selepas penyampaian anugerah berkenaan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Pengerusi Penganjur Anugerah Putra Brand 2023, Datuk Johnny Mun.

Anugerah Putra Brand Awards yang menyambut edisi ke-14 dengan memberi 157 anugerah, termasuk enam anugerah khas dalam 24 kategori kepada jenama kegemaran rakyat Malaysia.

Anugerah Putra Brand Awards 2023 diberikan kepada jenama kegemaran rakyat Malaysia sepanjang tahun lalu.

Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek bergambar bersama kakitangan Harian Metro, Hafidzul Hilmi Mohd Noor (kanan) dan Amir Abd Hamid (kiri) selepas menerima Perak sempena Anugerah Putra Brand 2023 di Petaling Jaya, malam tadi. - Foto NSTP/Sadiq Sani
Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek bergambar bersama kakitangan Harian Metro, Hafidzul Hilmi Mohd Noor (kanan) dan Amir Abd Hamid (kiri) selepas menerima Perak sempena Anugerah Putra Brand 2023 di Petaling Jaya, malam tadi. - Foto NSTP/Sadiq Sani
Berita Harian X