Jumaat, 19 Januari 2024 | 5:39pm
Kumpulan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kawasan Empangan Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. NSTP/Ihsan RimbaWatch
Kumpulan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kawasan Empangan Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. NSTP/Ihsan RimbaWatch

Empangan Muda berselut: 'Kenyataan umum sangat' - EXCO Kedah

Alor Setar: Kerajaan negeri menganggap dakwaan kumpulan alam sekitar mengenai berlakunya mendapan selut di Empangan Muda akibat kegiatan pembalakan adalah terlalu umum dan memerlukan siasatan lanjut.

EXCO Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, berkata pihak terbabit perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai kajian yang dikatakan dilakukan sejak Mac tahun lalu itu.

"Kenyataan itu umum sangat, banyak soalan mereka kena siasat dan jawab terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Terdahulu, RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian yang dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Empangan Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu, dan mendapan didapati semakin membesar pada Oktober lalu.

Masalah itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Berita Harian X