Jumaat, 19 Januari 2024 | 5:32pm
Foto fail
Foto fail

4 PPS aktif di Sarawak

KUCHING: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) kini aktif di Sarawak hari ini dengan satu daripadanya menempatkan penduduk di Bintulu yang kediaman mereka rosak teruk dibadai ribut, semalam.

Tiga PPS lagi menempatkan mangsa banjir iaitu satu di Tatau, Bintulu manakala dua lagi Debak di Betong.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, jumlah keseluruhan penduduk yang ditempatkan di empat PPS itu hingga jam 4 petang ini ialah seramai 362 orang daripada 111 keluarga.

Menurutnya, jumlah mangsa ribut yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Assyakirin, Bintulu kekal seramai 27 orang daripada lapan keluarga.

"PPS Balai Raya Kampung Assyakirin dibuka sejak jam 4 petang semalam bagi menempatkan mangsa ribut di Iris Garden dan Pine Court, Bintulu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir pula meningkat apabila satu lagi PPS dibuka pada jam 12 tengah hari tadi iaitu di Dewan Perpaduan Debak.

"PPS Dewan Perpaduan Debak itu menempatkan mangsa banjir di Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu yang seramai 142 orang daripada 39 keluarga.

"PPS Dewan Millenia Debak juga menempatkan mangsa banjir di Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu yang kini meningkat seramai 141 orang daripada 39 keluarga," katanya.

Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Muput yang dibuka sejak jam 4 petang semalam menempatkan mangsa banjir di Rumah Panjang Steven, Tatau di Bintulu yang seramai 52 orang daripada 25 keluarga.

Berita Harian X