Jumaat, 19 Januari 2024 | 5:32pm
Speaker Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto fail BERNAMA
Speaker Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto fail BERNAMA

Ingkar keputusan parti, Ahli Parlimen boleh cabar di mahkmah

KUALA LUMPUR: Sebarang pindaan perlembagaan parti yang menghalang Ahli Parlimen mengingkari keputusan parti masing-masing, boleh dicabar di mahkamah, kata Speaker Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata mahkamah boleh menentukan kesahihan pindaan kepada perlembagaan parti, memandangkan ia hanya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Anti Lompat Parti dan menutup setiap kelemahan yang ada dalam perundangan itu.

"Pindaan kepada undang-undang adalah lebih baik untuk menangani perkara ini, kerana ia lebih terperinci dan hadir daripada undang-undang itu sendiri berbanding digariskan di tempat lain," katanya seperti yang dilaporkan oleh portal FMY, di sini hari ini.

Kenyataan Wan Junaidi pada sidang media selepas forum anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu difahamkan merujuk kepada pindaan yang dibuat beberapa parti dalam perlembagaan masing-masing termasuk UMNO, DAP dan Amanah.

Peruntukan perlembagaan UMNO misalnya menyatakan, Ahli Parlimen mereka akan kehilangan keahlian secara automatik sekiranya menyertai blok yang tidak bergabung dengan parti itu.

DAP dan Amanah pula menyatakan wakil rakyat yang tidak mengikut parti dalam isu asas secara automatik akan kehilangan keahlian mereka.

Ia selaras dengan peruntukan Akta Anti Lompat Parti yang menyatakan bahawa kerusi Ahli Parlimen akan diisytiharkan kosong jika seseorang itu 'berhenti menjadi ahli parti politik mereka'.

Minggu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata perlembagaan UMNO diubah ketika Perhimpunan Agung Khas Januari tahun lalu turut menghalang ahli UMNO menyertai pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

Katanya, perlembagaan UMNO sudah dipinda pada 13 Januari 2023 untuk menghalang ahli Parlimen parti itu berubah sokongan atau membelakangi keputusan parti.

"Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO memperuntukkan keahlian UMNO akan tergugur secara automatik sekiranya Ahli UMNO yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.

"Ini termasuklah menanda-tangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti," katanya menerusi Facebook.

Berita Harian X