Jumaat, 19 Januari 2024 | 5:02pm
Loke (empat dari kanan) diiringi Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong (tiga dari kanan) serta Pengarah Serantau dan Pertumbuhan Pasaran Costa Cruises, Francesco Raffa (empat dari kiri) pada Pelancaran Kolaborasi antara Hwajing Travel & Tours dan Costa Cruises di Port Klang Cruise Terminal (PKCT), Pulau Indah, Pelabuhan Klang. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Loke (empat dari kanan) diiringi Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong (tiga dari kanan) serta Pengarah Serantau dan Pertumbuhan Pasaran Costa Cruises, Francesco Raffa (empat dari kiri) pada Pelancaran Kolaborasi antara Hwajing Travel & Tours dan Costa Cruises di Port Klang Cruise Terminal (PKCT), Pulau Indah, Pelabuhan Klang. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Palam pintu pesawat tercabut: CAAM sedia tawar bantuan kepada FAA AS

KLANG: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menawarkan bantuan kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) berhubung palam pintu pesawat Alaska Airlines Boeing 737 Max 9 yang tercabut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata CAAM sudah menghubungi pejabat FAA Asia-Pasifik di Singapura selepas pengesahan palam pintu dibuat di Malaysia oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) semalam.

"CAAM sudah menghubungi FAA untuk menawarkan bantuan mereka berikutan laporan palam pintu itu disahkan dibuat di Malaysia.

"Bagaimanapun, mereka memberitahu akan merujuk kita semula sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

Walaupun palam pintu itu dibuat di Malaysia, ia adalah komponen yang berada di bawah kelulusan FAA," katanya selepas perasmian pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara, Costa Serena di sini, hari ini.

Semalam, NTSB mengesahkan palam pintu pesawat Alaska Airlines Boeing 737 Max 9 dikilangkan di Malaysia.

Pengerusinya, Jennifer Homendy, dilaporkan berkata pintu itu dikeluarkan oleh Spirit AeroSystems di Malaysia sebelum sampai kepada pembekal Boeing di Wichita, Kansas.

Dari situ, katanya, bahagian berkenaan dihantar ke barisan pemasangan Boeing di Renton, Washington, lapor Wall Street Journal (WSJ).

Homendy berkata, NTSB sedang meneliti cara pintu palam itu dikilangkan, diangkut, dipasang dan dimasukkan ke dalam perkhidmatan dan juga akan meliputi pemeriksaan kualiti sepanjang rantaian bekalan.

Terdahulu, Costa Cruises yang sinonim dengan pelayaran mewah Eropah dan Hwajing Travel & Tours (Hwajing) iaitu pengendali pelancongan pelayaran terkemuka Asia Tenggara menjalinkan kerjasama dengan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertamanya di Malaysia.

Menerusi kerjasama itu, Costa Cruises dan Hwajing menerokai potensi besar pasaran pelancongan Islamik yang menggabungkan unsur riadah, amal dan halalan toyyiban ke dalam pelayaran.

Loke berkata, kerjasama itu juga menyediakan potensi manfaat ekonomi jangka panjang dan faedah berkekalan kepada negara dengan merangsang sektor pelancongan yang seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Kapal Costa Serena mendapat persijilan halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan sebahagian kapal ini mesra Muslim dengan pilihan restoran halal khusus untuk pelancong beragama Islam," katanya.

Berita Harian X