Jumaat, 19 Januari 2024 | 4:03pm
Tan Sri Zuki Ali (kiri) dan Datuk Dr Adnan Mat.
Tan Sri Zuki Ali (kiri) dan Datuk Dr Adnan Mat.

Mesej tular KSN disiasat SPRM cubaan gugat perkhidmatan awam - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi amaran kepada pihak luar supaya jangan sesekali cuba menggugat kepercayaan rakyat dengan bertindak menyebarkan fitnah sehingga mencetuskan sentimen buruk terhadap anggota perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata demikian mengulas mesej palsu yang tular di media sosial berhubung fitnah dilemparkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali.

Mesej itu antara lain mendakwa kononnya Ketua Setiausaha Negara disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memiliki kekayaan luar biasa walaupun bekerja dalam perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut, Adnan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menyebarkan fitnah itu bagi mengelak insiden sama berulang.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya tiada tindakan selanjutnya diambil terhadap dalang penyebar fitnah itu, nama perkhidmatan awam akan terus dipergunakan sebagai modal individu tertentu menyebarkan kebencian.

Beliau juga tidak menolak nama perkhidmatan awam mungkin akan digunakan untuk melaga-lagakan pemimpin kerajaan.

"CUEPACS sekeras-kerasnya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang sememangnya sangat tidak berasas dan boleh memberi implikasi negatif kepada institusi perkhidmatan awam serta menjejaskan kepercayaan kepada kerajaan.

"Dalam hal ini CUEPACS menolak sebarang campur tangan daripada pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu untuk turut sama melibatkan institusi perkhidmatan awam terutama Ketua Setiausaha Negara dalam agenda mereka.

"Budaya menyebarkan fitnah ini perlu dihentikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam yang sentiasa neutral dan profesional dalam setiap tindakan.

"CUEPACS sentiasa menyokong usaha untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sekiranya terbukti berlaku tetapi menolak budaya fitnah yang hanya merosakkan keharmonian negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, CUEPACS menasihati penjawat awam untuk terus menyokong agenda Malaysia MADANI yang diinspirasikan oleh kerajaan semasa.

Justeru, Adnan berharap penjawat awam kekal fokus dan mengekalkan profesonalisme dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

"Marilah kita bersama-sama bina negara untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat selain fokus kepada agenda pemulihan ekonomi negara demi kemakmuran negara berlandaskan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Berita Harian X