Jumaat, 19 Januari 2024 | 11:38am
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. - Foto fail NSTP
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. - Foto fail NSTP

Sesi persekolahan 2024/2025: Murid dibenar pakai uniform dua hari, baju sukan dua hari

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid memakai pakaian seragam sekolah untuk dua hari diikuti pakaian sukan selama dua hari dan sehari untuk pakaian kokurikulum bagi sesi persekolahan 2024/2025 mulai Mac ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kebenaran itu adalah garis panduan baharu berkaitan pemakaian seragam murid yang ditetapkan KPM.

"KPM memutuskan bagi sesi 2024/2025 bermula Mac ini, selepas sesi libat urus dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemegang taruh, maka pakaian seragam di sekolah sesi 2024/2025 diteruskan seperti berikut.

"Dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2024 KPM di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, perincian mengenai garis panduan itu akan dimaklumkan kepada semua pihak dalam tempoh terdekat.

Ketika ditemui selepas majlis amanat itu, Fadhlina menjelaskan pihak sekolah akan diberi kuasa autonomi untuk menentukan hari pemakaian seperti yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan.

"Ya, itu akan diperincikan dalam surat makluman nanti mengenai autonomi yang akan diberikan kepada pihak sekolah nanti asalkan mereka mengikut dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan sehari pakaian kokurikulum.

"Selain itu, bagi kita ini adalah penegasan keputusan untuk meringankan beban ibu bapa yang berhasrat membuat persiapan lebih awal," katanya.

Pada 3 Mei tahun lalu, KPM memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas dan kering.

Murid yang memakai pakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau menzahirkan rasa gembira dengan inisiatif membabitkan penambahan guru.

Jelasnya, sehingga Disember 2023, KPM berjaya membuat penempatan seramai 18,792 guru baharu.

"Secara peribadi saya sangat bahagia dengan inisiatif ini iaitu penambahan pengambilan guru baharu yang sangat signifikan.

"Insya-Allah, (penambahan guru baharu ini) akan bertambah lagi sebelum berakhir sesi penggal persekolahan 2023/2024," katanya.

Berita Harian X