Jumaat, 19 Januari 2024 | 11:27am

'Baru malam tadi bercakap dengannya...'

PASIR MAS: "Baru malam tadi saya bercakap dengannya melalui telefon, tidak sangka pagi ini menerima khabar dia sudah tiada" kata Norma Mat Noor, 61.

Norma adalah ibu kepada Nurul Suhaila Mohamad Othman, 23, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan sebuah kereta berdekatan Kampung Gertak Anak Buaya, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, di sini, jam 4.57 pagi tadi.

Katanya, dia dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya bahawa anak bongsunya itu terbabit dalam kemalangan namun menyangkakan ia hanya insiden biasa.

"Dalam perjalanan, saya diberitahu ada dua orang yang meninggal dunia dalam kemalangan itu dan sebaik sampai ke hospital, dunia saya bagaikan gelap gelita apabila diberitahu salah seorang mangsa adalah Suhaila.

"Kami sudah tidak berjumpa selama beberapa minggu kerana dia sibuk dengan kerjanya namun kami sentiasa berhubung antara satu sama lain melalui telefon. Tambahan pula, anak lelakinya yang berusia empat tahun tinggal bersama saya.

"Suhaila adalah ibu tunggal yang mempunyai seorang anak yang gigih bekerja sebagai peniaga kedai makan demi menyara kehidupan seharian," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dua maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan sebuah kereta Honda Accord, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata mangsa yang meninggal dunia di lokasi adalah penumpang kereta Honda Accord, Nurul Suhaila Mohamad Othman, 23, dan pemandu bas, Ayub Che Soh, 49.

Manakala, pemandu kereta, Mohamad Tarmizi Ab Jamil, 28 cedera parah dan dibawa unit kecemasan HPM sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Norma berkata, dia reda dengan apa yang berlaku dan berdoa semoga segala urusan bedah siasat dapat disiapkan segera selain memaklumkan akan mengebumikan anaknya di Tanah Perkuburan Islam Belukar Jenereh, Salor di Kota Bharu.

"Selepas ini tiada lagi panggilan telefon serta lagak manja Suhaila kerana dia adalah anak bongsu yang rapat dengan saya.

"Saya berjanji akan menjaga anak tunggal arwah dengan sebaiknya kerana cucu saya ini masih lagi kecil dan memerlukan kasih sayang yang terbaik untuk membesar," katanya.

Nurul Suhaila (gambar kecil) maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan sebuah kereta berdekatan Kampung Gertak Anak Buaya, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, di Rantau Panjang, pagi tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nurul Suhaila (gambar kecil) maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan sebuah kereta berdekatan Kampung Gertak Anak Buaya, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, di Rantau Panjang, pagi tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X