Jumaat, 19 Januari 2024 | 9:27am

Gaza tagih solidariti negara Islam henti lebih 100 hari genosid Israel

Diam tak diam, keganasan Israel di Semenanjung Gaza sudah melebihi 100 hari, namun belum menunjukkan sebarang tanda perang Israel-Palestin bakal tamat dalam tempoh terdekat.

Bahkan, jumlah korban akibat serangan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza kini mencecah 24,000 orang sepanjang tempoh serangan rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.

Selepas mengadakan mesyuarat tergempar pada Oktober tahun lalu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab nampaknya tidak mampu melakukan tindakan signifikan untuk mendesak Israel berhenti mengebom orang awam serta infrastruktur di Gaza.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga seakan 'terikat kaki dan tangan', mulut terkunci dan telinga menjadi tuli walaupun menyaksikan genosid melebihi tiga bulan rejim Israel di Gaza.

Permainan tarik tali negara kuasa besar, khasnya Amerika Syarikat (AS) sebagai sekutu utama Israel menggunakan kuasa veto untuk menghalalkan kekejaman rejim Zionis di Gaza sekadar mengesahkan PBB hanya bidak percaturan pelobi Yahudi.

Lebih malang, negara jiran Palestin di sebelah barat, timur, utara dan selatan seakan lepas tangan daripada mencampuri urusan membantu Gaza daripada kekejaman tentera rejim Zionis.

Setidaknya, Afrika Selatan menjadi negara bukan Islam yang berani mengheret Israel untuk didakwa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas aktiviti genosid terhadap penduduk Gaza.

Satu tindakan yang sepatutnya menjatuhkan air muka OIC, Liga Arab dan negara Islam kerana tidak mampu membawa Israel ke muka pengadilan antarabangsa bagi menuntut keadilan warga Gaza dan Palestin.

Keberanian Afrika Selatan mendapat sokongan dan pengiktirafan banyak negara Islam dan bukan Islam, tetapi ia tidak mampu menamatkan keganasan dan kekejaman Israel di Semenanjung Gaza pada waktu terdekat ini. Itu hakikat sebenarnya.

Terbaharu, Malaysia mengorak usaha menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri kelmarin menandatangani serta mengirim sekeping poskad khas kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Ia bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia supaya badan dunia itu menerima Palestin sebagai negara anggota serta menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.

Kita amat mengalu-alukan komitmen dizahirkan kerajaan ini sambil mengharap lebih banyak negara, terutama anggota OIC dan Liga Arab menzahirkan solidariti kepada warga Gaza untuk kembali menikmati kehidupan aman sebelum perang tercetus sejak 7 Oktober lalu.

OIC, Liga Arab dan masyarakat antarabangsa perlu terus menekan PBB untuk mendesak Israel menamatkan kekejaman di Gaza dengan apa cara sekali pun kerana apa yang berlaku hari ini bukan lagi peperangan, tetapi holocaust dan genosid di bumi Palestin.

Berita Harian X