Khamis, 18 Januari 2024 | 11:54pm
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto NSTP
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto NSTP

Pelajar terima status terkini tawaran ke MRSM masih berpeluang diterima masuk

KUALA LUMPUR: Pelajar yang menerima status makluman terkini kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak perlu bimbang kerana masih berpeluang untuk diterima masuk sekiranya ada pelajar lain yang menolak.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata status makluman itu menjelaskan hanya pelajar yang tidak menerima tawaran selepas 20 Mei ini, permohonannya ditolak.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana status terkini diterima itu menunjukkan pelajar itu lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), tetapi dimasukkan dalam senarai menunggu.

"Ramai yang mesej bertanya mengenai status yang diterima ini. Sebenarnya ia bergantung kepada kekosongan di mana-mana MRSM kelak.

"Berasaskan rekod tahun-tahun sebelum ini, kebiasaannya 25 hingga 30 peratus pelajar yang ditawarkan ke MRSM, menolak tawaran itu atas pelbagai sebab.

"Kekosongan yang ditinggalkan inilah yang akan diisi oleh calon-calon simpanan. "Insya-Allah, jika ada rezeki, masih berpeluang untuk ditempatkan di MRSM yang masih ada kekosongan yang ditinggalkan," katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, MRSM menerima lebih 104,000 permohonan bagi kemasukan pelajar untuk sesi persekolahan 2024 bagi mengisi 8,679 tempat yang ditawarkan 57 MRSM di seluruh negara.

Jumlah pengambilan pelajar itu termasuk bagi mengisi kekosongan MRSM yang baharu iaitu MRSM Ranau, Sabah dan MRSM Bintulu, Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya pelajar gagal dalam ujian UKKM ia tidak dapat dibantu atau melakukan rayuan.

"Perkara itu bertentangan dengan dasar dan polisi MRSM dan MARA kerana tidak boleh berkompromi soal kualiti MRSM.

"Kasihan juga kepada pelajar itu untuk bersaing dengan pelajar-pelajar yang lulus UKKM," katanya.

Berita Harian X