Khamis, 18 Januari 2024 | 11:36pm

BH, NST rangkul emas Anugerah Putra Aria Brand 2023

PETALING JAYA: Jenama Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) kekal menjadi media pilihan ramai apabila mengungguli Anugerah Putra Aria Brands 2023 bagi kategori Rangkaian Media.

Kedua-dua jenama terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang juga anak syarikat kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima), diumum sebagai pemenang Anugerah Emas buat tahun kedua berturut-turut sejak diperkenalkan tahun lalu.

Hadir bagi menerima anugerah itu pada majlis di sini malam tadi ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Eksekutif NST, Sharanjit Singh.

Anugerah Putra Aria Brands mengiktiraf jenama mengikut pelbagai kategori berdasarkan pilihan ramai.

Pencapaian terbaharu ini dengan sendirinya mengukuhkan kedudukan BH sebagai akhbar dan platform digital yang dipercayai pembaca serta diiktiraf dalam menghasilkan berita sahih.

Mengikut data terkumpul sepanjang tahun lalu, pelawat unik (UV) platform digital BH Online secara purata menarik 4.1 juta pembaca sebulan, manakala purata jumlah tatapan halaman (PV) berdasarkan kiraan Google Analytics mencecah 1.1 juta sehari.

Secara keseluruhannya, data capaian kepada BH Online sepanjang tahun lalu mencecah 362,288,253 tatapan oleh 34,110,247 pengguna, babitkan 217,729,614 sesi pelayaran web.

BH Online merekodkan 33,836,461 pengguna aktif dengan setiap pengguna menghabiskan masa purata tiga minit 58 saat setiap kali melayari kandungan di laman web akhbar itu.

Laman web NST Online menerima purata dua juta UV sebulan tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad Zaini ketika ditemui selepas majlis itu, berkata kejayaan merangkul anugerah terbabit membuktikan jenama BH dan NST terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan pembaca.

"Kedudukan kita semakin meningkat dan yang paling penting, ini adalah pilihan pembaca untuk mereka mendapatkan sumber berita dan maklumat, bukannya pilihan juri.

"Ini bermakna, BH dan NST adalah media yang dipercayai serta memiliki kredibiliti. Terima kasih kepada pembaca dan teruskan menyokong kami sama ada media cetak atau digital.

"Kita di NSTP akan terus memberi liputan berita yang sahih untuk disampaikan kepada pembaca," katanya.

Pada majlis itu, Media Prima Omnia turut menaja kategori anugerah Peranti Komunikasi.

Majlis turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman; Pengerusi Penganjur Anugerah Putra Aria Brand 2023, Datuk Johnny Mun dan Pemangku Presiden Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Ryusuke Oda.

Anugerah Putra Aria Brands diperkenalkan pada 2022 oleh 4As untuk memberikan perkhidmatan cekap dan inklusif kepada komitmen pemasaran dengan menonjolkan usaha penjenamaan merentas semua segmen.

Diukur melalui pertumbuhan keutamaan pengguna, ia mengiktiraf kecemerlangan jenama dalam landskap pemasaran dan pengiklanan.

Anugerah itu satu daripada dua pengiktirafan yang disahkan MATRADE sebagai Rakan Juara Jenamanya dan disokong Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Persatuan Pakar Media (MSA) dan Persatuan Digital Malaysia (MDA).

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Pengarang Berita Harian (BH), Veena Rusli menerima Anugerah Putra Aria Brands 2023 bagi Anugerah Emas kategori rangkaian media untuk Berita Harian pada Malam Anugerah Putra Aria Brands 2023 di Hotel One World, Petaling Jaya. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Pengarang Eksekutif New Straits Times (NST) Sharanjit Singh serta kakitangan Berita Harian dan NST meraikan kejayaan merangkul Anugerah Putra Aria Brands 2023 bagi Anugerah Emas kategori rangkaian media pada Malam Anugerah Putra Aria Brands 2023 di Hotel One World, Petaling Jaya. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Berita Harian X