Khamis, 18 Januari 2024 | 5:51pm
Palam pintu yang tercabut dari badan pesawat Boeing 737 Max 9 ketika terbang di ruang udara Oregon, dikesan mempunyai tulisan ‘Made in Malaysia'. Objek berkenaan ditemui guru, Bob Sauer, di halaman belakang rumahnya di Oregon. - Foto OPB menerusi www.opb.org.
Palam pintu yang tercabut dari badan pesawat Boeing 737 Max 9 ketika terbang di ruang udara Oregon, dikesan mempunyai tulisan ‘Made in Malaysia'. Objek berkenaan ditemui guru, Bob Sauer, di halaman belakang rumahnya di Oregon. - Foto OPB menerusi www.opb.org.

NTSB sahkan palam pintu Alaska Airlines dikilangkan di Malaysia, tetapi bukan punca

WASHINGTON: Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan palam pintu Boeing BA 737 MAX 9 yang tercabut ketika penerbangan pesawat Alaska Airlines pada awal bulan ini, dikilangkan di Malaysia.

Pengerusi NSTB, Jennifer Homendy, berkata bahagian pesawat berkenaan dibuat oleh syarikat Spirit AeoroSystems yang mempunyai kilang di Malaysia.

Beliau berkata, kemudian palam pintu pesawat terbabit dihantar ke kilang pembekal Boeing dekat Wichita, Kansasm, AS sebelum dibawa kereta api ke kilang pembuat pesawat Boeing itu di Renton, Washington.

Mengulas mengenai kejadian yang berlaku awal bulan ini, katanya, masalah palam pintu itu boleh berlaku di mana-mana peringkat, bukan membabitkan peringkat pembuatan sahaja.

Justeru, pihaknya akan menyiasat segenap peringkat merangkumi aspek pengeluaran, pengangkutan, pemasangan dan kemasukan palam pintu ke dalam perkhidmatan serta pemeriksaan kualiti di sepanjang proses terbabit.

"Kami tidak mempunyai sebarang petunjuk di mana berlakunya kesilapan keselamatan.

"Ia boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kami bukan hanya menentukan pada peringkat pembuatan sahaja," katanya memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) selepas taklimat tertutup bersama ahli Jawatankuasa Perdagangan Senat AS semalam.

Penerbangan Alaska Airlines yang membawa 177 orang, termasuk anak kapal melakukan pendaratan cemas di Oregon, Amerika Syarikat (AS) pada 5 Januari lalu.

Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland kira-kira jam 5 petang waktu tempatan sebelum mendarat semula dengan selamat selepas kru melaporkan isu tekanan, selepas palam pintunya tercabut ketika dalam penerbangan.

Penemuan palam pintu Boeing 737 Max 9 yang tertera tulisan tangan 'Made In Malaysia' (Buatan Malaysia), sekali lagi menjadikan Malaysia tumpuan dalam siasatan insiden penerbangan.

Portal berita Oregon Public Broadcasting (OPB) sebelum ini melaporkan pengalaman guru sekolah, Bob Sauer, yang menjumpai palam pintu tercabut dari pesawat Alaska Airlines Boeing 737 MAX 9 pada 5 Januari lalu.

Pintu itu dipercayai tercabut pada altitud 16,000 kaki (4,877 meter) sebelum terjatuh di laman belakang rumah Sauer di pinggir bandar Oregon.

Berita Harian X