Khamis, 18 Januari 2024 | 5:20pm
Kumpulan pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan UniSZA menunjukkan inovasi baharu aiskrim menggunakan ubi keledek lembayung yang dicipta mereka sempena Program Hari Pelancaran Produk Makanan Baharu 2024 di UniSZA Kampus Besut dekat Tembila. - Foto BERNAMA
Kumpulan pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan UniSZA menunjukkan inovasi baharu aiskrim menggunakan ubi keledek lembayung yang dicipta mereka sempena Program Hari Pelancaran Produk Makanan Baharu 2024 di UniSZA Kampus Besut dekat Tembila. - Foto BERNAMA

Penuntut UniSZA cipta sembilan produk berasaskan ubi keledek

JERTIH: Penuntut jurusan Teknologi Makanan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sembilan inovasi produk baharu makanan berasaskan ubi keledek variasi vitato (isi oren) dan lembayung (isi ungu) sebagai usaha mendepani pembangunan teknologi makanan masa ini.

Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Prof Dr Hafizan Juahir, berkata ciptaan yang dihasilkan menerusi Program Hari Pelancaran Produk Makanan Baharu 2024 itu membabitkan sembilan kumpulan pelajar dikehendaki mencipta produk berasaskan ubi keledek yang juga antara tanaman utama di ladang UniSZA Kampus Besut.

"Menerusi program ini juga kita melatih untuk melahirkan saintis dalam bidang teknologi pemakanan dan pada masa sama mendidik mereka sebagai usahawan. UniSZA sentiasa berusaha untuk memastikan setiap produk dihasilkan pelajar dibawa masuk ke dalam pasaran," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Aiskrim ubi keledek yogurt yang diberi nama LembaYo Ice Cream yang direka oleh sekumpulan pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan UniSZA. - Foto BERNAMA
Aiskrim ubi keledek yogurt yang diberi nama LembaYo Ice Cream yang direka oleh sekumpulan pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan UniSZA. - Foto BERNAMA

Hafizan berkata, antara ciptaan itu ialah LembaYo Ice Cream iaitu aiskrim atau konfeksi sejuk beku perisa ubi keledek dengan campuran yogurt, Sweetatto Bangkit (biskut berasaskan keledek lembayung), CheezyVitaball (bebola ubi keledek berkeju) dan Cutiebite Gummy Bear (gula-gula kenyal berasaskan ubi keledek oren).

"Ciptaan lain ialah Cheeky Chips (kerepek ubi keledek berperisa paprika), Dotato (donat sejuk beku berasaskan ubi keledek vitato), Sambal Gepto (sambal tumis ubi keledek), Vitatobokki (kuih beras ubi keledek) dan VitAtoff iaitu gula-gula karamel berinti ubi keledek," katanya.

Beliau berkata, produk yang dibangunkan kumpulan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan itu dihasilkan menerusi kajian mendalam terhadap kandungan nutrisi dan tindak balas kimia dalam setiap produk.

Sementara itu, Nur Atiqah Hanis Mahyudin, 23, berkata produk LembaYo Ice Cream yang dihasilkan kumpulan itu memiliki kombinasi manis dan masam daripada yogurt, ubi lembayung dan salutan sirap ubi lembayung.

"Kami mengambil masa selama tiga bulan mengkaji pelbagai aspek untuk menghasilkan produk ini dan sangat gembira kerana dipilih sebagai pemenang pertama setelah dinilai oleh juri daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi lain," katanya.

Dalam program berkenaan, Sweetatto Bangkit muncul di tempat kedua dan CheezyVitaball pula ketiga. - BERNAMA

Berita Harian X