Khamis, 18 Januari 2024 | 3:23pm
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat. - Foto fail NSTP
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat. - Foto fail NSTP

Peningkatan geran kesatuan sekerja bantu tingkatkan kemahiran pekerja - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) yang diumumkan kerajaan semalam dijangka dapat membantu kesatuan sekerja melaksanakan aktiviti perkembangan pendidikan serta peningkatan kemahiran pekerja.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, berkata peningkatan geran PHEKS itu sudah pasti memberi kesan positif terutama dalam membantu menyokong pertumbuhan keahlian.

"Selain itu, ia juga dapat membantu lebih banyak kesatuan sekerja melaksanakan aktiviti bagi perkembangan pendidikan serta meningkatkan kemahiran warga pekerja.

"CUEPACS yakin bantuan kerajaan dalam bentuk geran ini dapat menggalakkan perkembangan pendidikan dan pembelajaran secara berterusan, khususnya bagi meningkatkan kemahiran berkesatuan dalam kalangan pemimpin dan anggota kesatuan sekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengumumkan peruntukan PHEKS dinaikkan kepada RM5.8 juta tahun ini, berbanding RM2.6 juta tahun lalu, selaras dengan usaha kementerian untuk berdiri bersama pekerja yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara, sekali gus memerlukan kesatuan sekerja terus didukung dan diperkasa.

Katanya, had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja juga dinaikkan daripada RM10,000 tahun lalu kepada RM20,000 bagi tujuan memperkasa pengurusan.

Adnan berkata, CUEPACS berharap semua kesatuan sekerja terutama daripada kesatuan di bawah gabungannya mengambil bahagian sepenuhnya menyertai inisiatif itu.

Katanya, penyertaan ini membolehkan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kesatuan masing-masing.

"CUEPACS juga berharap Kementerian Sumber Manusia dapat menyalurkan jumlah minimum sekurang-kurangnya RM10,000 kepada setiap kesatuan sekerja yang memohon untuk menyertai inisiatif PHEKS ini.

"Jumlah minimum RM10,000 ini lebih wajar bagi membolehkan pihak kesatuan sekerja melaksanakan program dengan lebih berkesan sekali gus mencapai matlamat yang dimahukan oleh kementerian.

"Dengan dana tambahan yang diberikan ini sudah pasti kesatuan sekerja dapat meningkatkan kapasiti mereka untuk menjalankan program, latihan, dan inisiatif yang menyokong kepentingan pekerja serta mempromosikan kesatuan bagi menggalakkan penyertaan pekerja dalam berkesatuan.

Katanya, sebelum ini ada kesatuan yang hanya menerima kurang daripada RM5,000 secara sekali beri dan jumlah itu menyukarkan program pendidikan dan berkesatuan dapat dilaksanakan secara komprehensif.

Berita Harian X