Khamis, 18 Januari 2024 | 1:55pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Terima rungutan daripada guru, NUTP mahu KPM lihat semula iDME

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula penggunaan Sistem Pengurusan Identiti (iDME) dengan melaksanakan ujian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan kepada guru.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata terdapat keluhan daripada pendidik melalui media sosial dan aduan diterima mendapati guru amat tertekan.

Katanya, sistem itu dibangunkan bagi membolehkan warga pendidik mengakses beberapa aplikasi yang ada bertujuan memudahkan warga pendidik mengaksesnya melalui laman web iDME.

"Jika dilihat sistem ini diakses secara 'single sign on' iaitu pengaksesan tersebut adalah secara tunggal melalui laman web IDME dan semua warga pendidik yang mengisi markah pentaksiran perlu melalui sistem itu.

"Jika berdasarkan maklumat itu, sudah pasti sistem berkenaan adalah satu sistem yang terbaik daripada KPM dan tidak sepatutnya wujud masalah yang sukar ditangani.

"Bagaimanapun, hari ini, NUTP telah dihujani aduan berhubung dengan sistem iDME ini yang mana permasalahan itu adalah masalah sama seperti masa lalu.

"Guru yang cuba masuk ke sistem tersebut menjadi tertekan kerana tidak berjaya apabila sentiasa 'loading'," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata ada guru terpaksa masuk ke sistem berkenaan pada jam 12 tengah malam dan berlarutan sehingga jam 2 pagi.

Katanya, ada juga terpaksa berulang kali melayari sistem dan jika berjaya serta mengambil masa yang terlalu lama untuk mengisi data bagi seorang murid.

"Sistem seolah-olah tidak berfungsi walaupun ada guru menggunakan internet 500mbps dan ia masih lagi perlahan dan sukar menyelesaikan pengisian," katanya.

Fouzi berkata, masalah lain diutarakan kepada NUTP, apabila guru berjaya masuk ke sistem, markah yang dimasukkan didapati hilang kerana tidak berjaya disimpan secara automatik dan terpaksa memulakan semula langkah memasukkan dari awal sehingga berjaya mengisi sepenuhnya.

Katanya, perkara itu amat membebankan kerana telah menggunakan masa yang lama dalam melaksanakan tugasan yang tidak produktif langsung.

"Pihak NUTP mendapati setiap aduan yang diterima rata-rata merungut sistem berkenaan seolah-olah masih berada di peringkat ujian walaupun sudah beberapa tahun diperkenalkan.

"Isu yang dihadapi tetap masalah yang sama, tiada sebarang perubahan. Masa pengisian terlalu pendek tetapi data yang perlu dimasukkan terlalu banyak seperti BMI, Segak, PAJSK, PBD, UASA serta SSDM.

"Sistem ini juga didapati tidak mesra pengguna kerana sukar difahami selain dari sistem yang terlalu perlahan dan ibu bapa juga tidak boleh mengakses untuk melihat pencapaian anak mereka," katanya.

Beliau berkata, guru turut mempersoalkan tindakan KPM yang menamatkan penggunaan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang lebih baik dan boleh digunakan oleh guru dan ibu bapa.

Berita Harian X